Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

AI 'Makan' Banyak Elektrik? Pakar Dedah Realiti Sebenar Dalam 5 Tahun Lagi

Walaupun pusat data AI guna banyak elektrik, pakar menjangkakan teknologi ini bakal menjadi penyelamat kecekapan tenaga dalam tempoh lima tahun lagi.

AI 'Makan' Banyak Elektrik? Pakar Dedah Realiti Sebenar Dalam 5 Tahun Lagi
Gambar: rotikaya

Bila sebut fasal kecerdasan buatan (AI) dan pusat data yang makin banyak dibina sekarang, perkara pertama yang terlintas di fikiran kita selalunya satu: berapa banyak bekalan elektrik yang bakal 'ditelan'?

Kebimbangan itu memang ada asasnya. Pusat data memerlukan bekalan kuasa yang sangat besar untuk memastikan sistem pemprosesan berfungsi tanpa henti. Namun di sebalik kerisauan itu, AI sebenarnya berpotensi menjadi kunci utama dalam menyelesaikan masalah pembaziran tenaga.

Iklan

Bukan Sekadar Pengguna, Tapi Jadi Penyelesai

Menurut Ketua Pegawai Teknologi AIQ, Saravan Penubarthi, walaupun teknologi AI sememangnya menggunakan tenaga yang tinggi, ia juga berupaya membantu mengoptimumkan penggunaan elektrik dan mengurangkan kos operasi.

Ketua Pegawai Teknologi AIQ, Saravan Penubarthi

Ketika berkongsi pandangan mengenai potensi teknologi ini untuk rantau Malaysia dan ASEAN di Persidangan dan Pameran Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC), beliau optimis AI akan memainkan peranan besar dalam pengurusan tenaga bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Kuncinya terletak pada cara teknologi itu direka bentuk dan digunakan. Jika kena dengan sistem dan seni binanya, keperluan pemprosesan data boleh dikurangkan, sekali gus menjimatkan tenaga dengan ketara.

Iklan

Tiga Pendekatan Utama Jimat Tenaga

Bagi memastikan teknologi ini tidak terus membebankan bekalan elektrik, terdapat tiga langkah penting yang perlu diberi perhatian:

  • Penggunaan teknologi AI yang bersesuaian di pusat data: Rekaan sistem yang tepat mampu mengurangkan beban kerja pemprosesan.
  • Sistem AI yang lebih cekap dalam sektor perusahaan: Membantu syarikat mengurus operasi harian dengan penggunaan kuasa yang minimum.
  • Peralihan segera kepada sumber tenaga bersih: Memastikan pusat data digerakkan dengan tenaga boleh baharu.

Saravan menegaskan bahawa perbezaan kos dan penggunaan elektrik tidak hanya bergantung kepada model AI yang diguna pakai semata-mata, sebaliknya bergantung kepada cara penyelesaian itu dilaksanakan untuk menghasilkan keputusan yang tepat.

ADIPEC 2026 menghimpunkan menteri tenaga, pemimpin industri, syarikat minyak dan gas, syarikat teknologi, pelabur serta pakar tenaga dari seluruh duni

Bantu Seimbangkan Grid Elektrik

Selain menjimatkan kos di pusat data, AI turut memegang peranan besar dalam menguruskan grid elektrik negara. Teknologi ini boleh digunakan untuk membuat penyelenggaraan ramalan sebelum berlaku kerosakan pada infrastruktur tenaga serta mengoptimumkan pengeluaran elektrik mengikut keperluan sebenar industri.

Iklan

Malah, integrasi sumber tenaga boleh baharu seperti solar atau angin sering menghadapi masalah bekalan yang tidak menentu. Di sinilah AI berfungsi untuk mengimbangi bekalan dan permintaan secara masa nyata.

Bagi merealisasikan perkara ini di Malaysia dan negara jiran, penyelarasan dasar kerajaan mengenai tadbir urus AI serta pembangunan infrastruktur elektrik sangat penting. Pertumbuhan pesat teknologi perlu berjalan seiring dengan perancangan tenaga yang mampan agar kita tidak berdepan krisis bekalan pada masa depan.

Sumber: rotikaya

Iklan

Baca juga

Iklan