Siakap KeliLive · Auto-update
Hiburan

17 Tahun Lalu Budak Sekolah Biasa, Dr Kervis Soo Kini Pulang Bawa Filem Baharu

Selepas 17 tahun berlalu, penerbit Dr Kervis Soo kembali ke kampung halamannya di Kluang membawa projek filem baharu dan pertandingan bakat bernilai lumayan.

17 Tahun Lalu Budak Sekolah Biasa, Dr Kervis Soo Kini Pulang Bawa Filem Baharu
Gambar: gempak

Siapa sangka, langkah kecil seorang anak muda di atas pentas sekolah 17 tahun lalu akhirnya membuka jalan besar dalam industri hiburan tanah air. Kini, usahawan dan penerbit berusia 34 tahun, Dr Kervis Soo, pulang semula ke kampung halamannya di Kluang, Johor dengan membawa pelbagai kejayaan tersendiri.

Bukan sekadar pulang bercuti kosong, kepulangannya kali ini sarat dengan perancangan bermakna. Selain merakam fasa akhir penggambaran filem, beliau juga mahu menghargai insan-insan penting yang membantunya sejak awal dan mencungkil bakat generasi muda di tanah kelahirannya.

Iklan

Angkat Kisah Jatuh Bangun Sendiri Ke Layar Perak

Projek filem terbaharunya, The Day We Start Again, disasarkan untuk menemui penonton di pawagam pada tahun 2027. Filem ini dihasilkan bersama oleh Xing Yu Group dan VYBE dengan terbitan Lomo Pictures.

Menariknya, Dr Kervis Soo bukan sahaja bertindak sebagai pelabur, malah beliau turut turun padang dalam proses perancangan projek dan pembangunan skrip. Jalan ceritanya pula cukup dekat di hati kerana diilhamkan daripada pengalaman peribadinya ketika berdepan ujian perniagaan, bangkit semula dan menilai erti perhubungan sesama manusia.

Lokasi penggambaran filem ini dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Kluang, menampilkan barisan pelakon seperti K Lou, Bruce Chiu, Charlene An Yu Chin, Leonard Lee, Yuan Teng serta Kyo Chen. Penggambaran di Kluang secara tidak langsung memberi peluang kepadanya memperkenalkan keunikan bandar tersebut kepada penonton luar.

Iklan

Bukan Projek Pertama Dalam Industri Filem

Sebenarnya, nama beliau bukan lagi asing di sebalik tabir perfileman tempatan. Sejak tahun 2023, Dr Kervis Soo dan syarikatnya sudah terlibat dalam enam projek filem menerusi pelbagai peranan seperti pelaburan, penerbitan dan pembangunan jalan cerita.

Antara naskhah yang menerima sentuhan serta pelaburan beliau termasuklah:

  • Indera (arahan Woo Ming Jin lakonan Shaheizy Sam dan Azira Shafinaz)
  • The Missing Child
  • Blooms of Happiness
  • Kungfu Juniors
  • Mad Mad World
  • The Day We Start Again

Buka Ruang Buat Bakat Baharu di Kluang

Bagi yang belum tahu, perjalanan seninya bermula seawal tahun 2009 apabila beliau memimpin sebuah kumpulan muzik menyertai pertandingan bakat 'Ai Show' di Sekolah Menengah Chong Hwa Kluang. Pengalaman manis zaman remaja itulah yang mendorongnya melancarkan pertandingan bakat VYBE Ai SHOW.

Iklan

Pertandingan ini membuka peluang kepada generasi muda mengetengahkan kebolehan masing-masing menerusi enam kategori utama: nyanyian, tarian, alat muzik, rap, bakat pelbagai serta video pendek kreatif. Hadiah yang ditawarkan bukan calang-calang, termasuk sebuah kenderaan elektrik bernilai RM99,800, pakej percutian ke Maldives dan ganjaran VYBE GOLD.

Bukan itu sahaja, Dr Kervis Soo turut menghasilkan dua lagu ciptaan asli bertajuk 'The Day We Start Again' dan 'After Waking Up'. Malah, buku sulungnya yang menggunakan judul sama turut mendapat sambutan hangat apabila 1,005 naskhah cetakan pertama habis terjual.

Hargai Insan Yang Menyokong

Bagi meraikan individu yang banyak membantunya selama ini, satu majlis penghargaan khas bakal diadakan di Kluang De Jiao Hui Zi Luan Ge pada 13 November nanti. Majlis tertutup itu diatur khas untuk menghimpunkan keluarga, guru-guru, sahabat lama serta rakan industri.

Iklan

Bagi Soo, segala pencapaian hari ini adalah berkat sokongan orang sekeliling yang sentiasa ada di sisinya ketika susah dan senang.

Katanya, seseorang itu perlu sentiasa berani mempunyai impian kerana tiada siapa tahu bila impian berkenaan akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.

Sumber: gempak

Iklan

Baca juga

Iklan