Tiket ECRL Dikatakan Mampu Milik Untuk B40, Ini Senarai Harga Dan Diskaun
Ramai mula bincang pasal harga tiket ECRL yang diumumkan baru-baru ini. MB Pahang tampil beri pandangan kenapa kadar tambang itu dianggap berpatutan untuk semua.

Sejak pengumuman kadar tambang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dibuat baru-baru ini, topik mengenai harga tiket mula jadi bualan ramai. Ada yang tertanya-tanya sama ada perkhidmatan rel moden ini mesra poket atau sebaliknya.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tampil memberi pandangannya bahawa harga yang ditetapkan sebenarnya berpatutan. Beliau yakin kadar tersebut masih berada dalam kemampuan golongan berpendapatan rendah atau B40.
Menurutnya, penentuan harga tiket bukan dibuat secara semberono, sebaliknya melalui kajian terperinci demi memastikan ia sesuai dengan bajet rakyat. Jika dinilai semula, harganya tidak banyak beza dengan tiket bas ekspres, malah jauh lebih murah berbanding kos menaiki kapal terbang. Beliau turut melihat maklum balas warga maya setakat ini rata-ratanya positif dan menyambut baik pengumuman tersebut.

Pecahan Tambang ECRL Kelas Ekonomi
Bagi yang merancang perjalanan menggunakan ECRL nanti, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak sebelum ini telah memperincikan kadar tambang sehala bagi kelas ekonomi:
- Gombak ke Kota Bharu: RM125 untuk perkhidmatan transit, RM147 untuk perkhidmatan ekspres.
- Gombak ke Kuala Terengganu: RM95 bagi transit, RM110 bagi ekspres.
- Gombak ke KotaSAS: RM60 bagi transit, RM68 bagi ekspres.
Siapa Yang Layak Menerima Diskaun?
Untuk meringankan beban orang ramai, pihak Jemaah Menteri bersetuju menawarkan potongan harga tiket yang agak menarik kepada beberapa golongan sasaran:
- Diskaun 50 peratus: Diberikan kepada kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun, warga emas berusia 60 tahun ke atas, pemegang kad OKU, serta pesara kerajaan.
- Diskaun 40 peratus: Dikhaskan buat para pelajar berusia antara 13 hingga 24 tahun.
Mengenai cadangan potongan harga tambahan untuk anak jati Pahang atau sempena hari lahir, Wan Rosdy menjelaskan perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu bersama pihak MRL. Sebarang keputusan perlu melihat kepada implikasi kewangan sebelum boleh diputuskan.

Peluang Kerja Tempatan Dan Cadangan Laluan Baharu
Bukan sekadar perkhidmatan rel semata-mata, projek mega ini turut membuka peluang kerjaya yang cerah. Seramai 47 pelatih dari Akademi Rel Pahang (ARP) baru sahaja menamatkan latihan teknikal selama setahun di China dan kini ditawarkan peluang pekerjaan oleh MRL.
Langkah ini diambil bagi memastikan tenaga kerja mahir sudah bersedia sebelum rel mula beroperasi. Wan Rosdy berharap anak jati Pahang akan diberi keutamaan untuk mengisi kekosongan jawatan di tujuh stesen ECRL yang terletak di negeri berkenaan.
Selain itu, kerajaan negeri turut mencadangkan agar jaringan rel ini dapat diperluaskan lagi pada masa hadapan sehingga ke Rompin dan Kuala Lipis, tertakluk kepada kajian lanjut.
Sumber: ohmymedia.cc
Baca juga

Lubang Benam Muncul Depan BSN Bandar Perda, MBSP Syak Paip IWK Bocor
Kejadian lubang benam dikesan di luar BSN Bandar Perda petang tadi, MBSP syak masalah kebocoran sistem pembetungan bawah tanah jadi punca.

"Ini Bukan Soal Malaysia Lawan Indonesia" – Syed Saddiq Bidas Isu Jerebu Rentas Sempadan
Syed Saddiq membidas pandangan bekas menteri Indonesia berhubung isu jerebu, menegaskan ia bukan soal siapa lawan siapa tetapi hak rakyat kedua-dua negara untuk dapat udara bersih.

Pelajar Cederakan Guru: Menteri Gesa Henti Sebar Video, Jangan Cepat Menghukum
Orang ramai digesa henti sebar video insiden pelajar serang guru di Kuching. Pihak kementerian tegaskan media sosial bukan tempat menghukum melulu.