Siakap KeliLive · Auto-update
Hiburan

Tawaran Show Dibatalkan Lepas Lantang Bersuara, Cakra Khan Sedia Balik Menyanyi Kafe

Gara-gara lantang bersuara tentang isu semasa dan alam sekitar, tawaran nyanyian Cakra Khan ditarik balik. Namun, dia tidak gentar dan sedia kembali menyanyi di kafe.

Tawaran Show Dibatalkan Lepas Lantang Bersuara, Cakra Khan Sedia Balik Menyanyi Kafe
Gambar: Harian Metro

Bukan senang seorang selebriti nak berani buka mulut menyentuh isu sensitif, lebih-lebih lagi bila nama dan periuk nasi sendiri menjadi taruhan. Namun bagi penyanyi bersuara serak basah dari seberang, Cakra Khan, prinsip hidup nampaknya jauh lebih bernilai berbanding mengejar populariti semata-mata.

Penyanyi berusia 34 tahun ini mendedahkan beberapa tawaran persembahannya terpaksa dibatalkan gara-gara tindakannya yang lantang bersuara mengenai isu semasa serta masalah pencemaran alam sekitar di media sosial.

Iklan

Sanggup Balik Menyanyi Di Kafe

Bagi kebanyakan penghibur, berdepan budaya boikot atau cancel culture mungkin mimpi paling ngeri. Maklumlah, kerjaya yang dibina bertahun-tahun boleh malap dalam sekelip mata. Tetapi lain pula pendirian pemilik nama sebenar Cakra Konta Paryaman ini.

Cakra menegaskan dia langsung tidak gentar sekiranya pintu rezeki dalam industri arus perdana tertutup. Malah, pelantun lagu popular Kekasih Bayangan ini sedia kembali menyanyi di kafe-kafe kecil demi menyara kelangsungan hidup dan meneruskan minatnya.

Baginya, dia memulakan karier seni dari bawah tanpa sebarang jalan pintas. Jadi, sekiranya terpaksa bermula dari sifar sekali lagi, perkara itu sedikit pun tidak merisaukannya kerana baginya kemasyhuran hanyalah sekadar bonus.

Iklan

Kena Ugut Sebar Kad Pengenalan

Bila mula berani bersuara mengenai isu masyarakat, sudah pasti ada pihak yang berasa tidak senang. Cakra mengakui akaun media sosialnya diserang bertalu-talu oleh tentera siber atau buzzer menerusi mesej peribadi.

Bukan setakat dihina kononnya sudah tidak laku atau dituduh sengaja menunggang isu semasa, malah ada pihak yang bertindak keterlaluan sehingga mengugut mahu menyebarkan salinan kad pengenalannya kepada umum.

Mujurlah mental penyanyi ini cukup kental. Dia menganggap situasi sebegitu lumrah berlaku apabila seseorang tampil menyuarakan pandangan berbeza. Selagi tindakannya tidak menyalahi undang-undang atau memfitnah peribadi orang lain, dia tiada sebab untuk merasa takut.

Iklan

Guna Suara Untuk Tolong Masyarakat

Sebagai rakyat biasa, Cakra percaya setiap individu mempunyai hak untuk mengambil peduli hal-hal kebajikan umum. Dia mahu platform yang dimilikinya memberi manfaat, terutamanya dalam membangkitkan kesedaran membantu mangsa yang terjejas akibat bencana alam.

Walaupun berdepan ujian di negara sendiri, sokongan peminat terhadap bakat nyanyian Cakra di Malaysia tetap kukuh tanpa berbelah bahagi.

Bagi mengubati rindu peminat tempatan, Cakra bakal tampil beraksi dalam Konsert A Night of Soul yang dijadualkan berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC), Seri Kembangan pada 12 Disember depan.

Iklan

Pentas berprestij itu turut menghimpunkan barisan nama besar industri seni tanah air antaranya:

  • Datuk Amy Search
  • Datuk Ziana Zain
  • Siti Nordiana
  • Khai Bahar
  • Nabiha Aimi

Ternyata, kehilangan beberapa peluang persembahan bukan noktah untuk terus berkarya. Selagi ada bakat dan kejujuran, rezeki pasti tetap ada jalannya.

Sumber: Harian Metro

Iklan

Baca juga

Iklan