Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Steven Sim Umum Pelan SCALE 2027, Rombak Sektor PMKS Termasuk Isu Bayaran Lewat

KUSKOP perkenal Pelan Tindakan SCALE 2027 bantu PMKS tangani isu aliran tunai, penggunaan teknologi AI dan mudahkan akses pembiayaan perniagaan.

Steven Sim Umum Pelan SCALE 2027, Rombak Sektor PMKS Termasuk Isu Bayaran Lewat
Gambar: rotikaya

Bagi sesiapa yang mengusahakan perniagaan kecil, masalah bayaran lewat daripada syarikat besar memang cukup memeningkan kepala. Mana nak bayar gaji pekerja, nak pusing modal lagi. Menyedari beban berpanjangan ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) tampil memperkenalkan Pelan Tindakan SCALE 2027 demi membela nasib pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif ini dirangka khas untuk melengkapi Strategi ABCD yang sedang berjalan. Tujuannya adalah untuk menyelesaikan masalah struktur jangka panjang supaya usahawan tempatan dapat melipatgandakan daya saing serta beralih ke peringkat lebih tinggi. Pengumuman ini dibuat ketika beliau berucap pada Forum CEO PMKS SAMENTA 2026 semalam.

Iklan

Lima Teras Utama Dalam Pelan SCALE 2027

Nama SCALE ini sebenarnya bukan sekadar nama sedap didengar, tetapi merupakan akronim kepada lima keutamaan strategik yang digariskan kementerian:

  • SME Redefinition (Penakrifan Semula PMKS): Mengkaji semula definisi perniagaan kecil yang sudah dipakai sejak 2013 agar lebih menepati realiti pasaran semasa menjelang 2027.
  • Cash Flow Protection (Perlindungan Aliran Tunai): Menangani isu pembayaran lambat dan penahanan bayaran yang sering menekan peniaga kecil.
  • AI for SMEs (AI untuk PMKS): Menerapkan kecerdasan buatan bagi meningkatkan produktiviti tanpa perlu bergantung kepada kerja lebih masa, sekali gus beralih daripada konsep Made in Malaysia kepada Made by Malaysia.
  • Local Content Requirement (Keperluan Kandungan Tempatan): Membuka ruang supaya PMKS tempatan terlibat secara terus dalam projek berskala besar dan pelaburan langsung asing (FDI).
  • Easing SME Financing (Mempermudah Pembiayaan): Memudahkan urusan pinjaman dengan meneliti peraturan lapuk bersama institusi perbankan.

Henti Budaya 'Kredit Tanpa Faedah' Kepada Syarikat Gergasi

Satu perkara menarik perhatian dalam pelan ini adalah perlindungan aliran tunai. Selama ini, banyak peniaga kecil seolah-olah terpaksa menanggung beban memberi kredit tanpa faedah kepada syarikat-syarikat gergasi apabila bayaran mereka ditangguhkan berbulan-bulan.

Steven Sim sewaktu berucap dalam Forum CEO PMKS SAMENTA 2026.

KUSKOP menegaskan mereka mahu melindungi kedudukan kewangan usahawan kecil ini secara serius. Malah, untuk memastikan penglibatan PMKS tempatan dalam projek pelaburan besar, kementerian sedia mempertimbangkan garis panduan khusus dan langkah perundangan jika keadaan memerlukan.

Iklan

Sokongan Dana RM67.9 Bilion di Bawah Belanjawan 2027

Bagi menyokong pergerakan sektor ini, kerajaan melalui Belanjawan 2027 memperuntukkan sejumlah RM67.9 bilion menerusi pelbagai inisiatif seperti geran, pembiayaan, jaminan serta latihan di bawah pemantauan SME Corp. Malaysia.

Daripada angka itu, kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan sahaja mencecah RM57 bilion, iaitu pertambahan ketara berbanding RM50 bilion pada tahun 2026. Sementara itu, setakat 30 September lalu, kementerian sudah pun mengagihkan RM10.5 bilion kepada kira-kira 295,000 usahawan di seluruh negara, mendekati sasaran penuh RM15 bilion bagi tahun ini.

Langkah pembaharuan struktur ini diharapkan dapat memberi nafas baharu kepada jutaan peniaga tempatan agar tidak lagi sekadar bertahan, sebaliknya mampu berkembang maju dalam persaingan ekonomi global.

Sumber: rotikaya

Iklan

Baca juga

Iklan