Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Sorok Dadah Bawah Baju Hujan Motosikal, Pemuda Malaysia Ditahan di Singapura

Seorang pemuda Malaysia berdepan hukuman mati di Singapura selepas ditahan membawa lebih 2kg dadah bernilai RM730,000 di dalam motosikalnya di Pusat Pemeriksaan Tuas.

Sorok Dadah Bawah Baju Hujan Motosikal, Pemuda Malaysia Ditahan di Singapura
Gambar: Harian Metro

Niat seorang pemuda tempatan untuk membawa masuk barang terlarang ke negara jiran berakhir dengan padah besar. Lelaki warga Malaysia berusia 24 tahun itu kini ditahan pihak berkuasa Singapura selepas taktiknya menyembunyikan bekalan dadah di dalam motosikal berjaya dihidu penguat kuasa di sempadan.

Kejadian berlaku di Pusat Pemeriksaan Tuas pada hari Rabu lalu. Ketika itu, anggota Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) mengarahkan sebuah motosikal bernombor pendaftaran Malaysia untuk masuk ke lorong pemeriksaan yang lebih terperinci kerana berasa curiga.

Iklan

Taktik Selit Bawah Baju Hujan Terbongkar

Pemeriksaan rapi di kawasan ruang simpanan motosikal tersebut akhirnya membongkar muslihat suspek. Pegawai bertugas menjumpai sebuah beg yang sengaja disorokkan di bawah baju hujan di dalam kotak simpanan berkenaan.

Di dalam beg itu, terdapat lima bungkusan yang disyaki mengandungi bahan terlarang. Susulan penemuan tersebut, pihak ICA terus menghubungi Biro Narkotik Pusat (CNB) bagi menjalankan siasatan lanjut dan pemeriksaan menyeluruh terhadap penunggang serta kenderaan yang digunakannya.

Rampasan Cecah Nilai RM730,000

Hasil pemeriksaan lanjut mengesahkan barangan tersebut mengandungi kira-kira 1,924 gram heroin dan 164 gram methamphetamine atau syabu. Nilai keseluruhan dadah yang dirampas ini dianggarkan mencecah lebih S$222,000, iaitu sekitar RM730,000.

Iklan

Jumlah rampasan ini bukan sikit anak. Pihak ICA menjelaskan bahawa kuantiti dadah sebanyak itu sebenarnya mampu menampung ketagihan kira-kira 1,010 orang penagih untuk tempoh masa selama seminggu penuh.

Risiko Tali Gantung Menanti

Tindakan nekad pemuda ini meletakkan dirinya dalam bahaya besar. Undang-undang narkotik di Kota Singa sememangnya terkenal antara yang paling tegas di dunia dan tidak berkompromi dengan penyeludup dadah.

Di bawah Seksyen 7 Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura 1973, mana-mana individu yang didapati bersalah mengimport atau mengeksport lebih daripada 15 gram diamorphine (heroin tulen) boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Iklan

Pihak berkuasa republik itu turut menegaskan bahawa kawalan dan rondaan keselamatan di pintu masuk sempadan akan terus diperketatkan. Kerjasama rapat antara ICA dan CNB berjalan secara berterusan bagi memastikan sebarang cubaan membawa masuk barangan berbahaya termasuk dadah, senjata dan bahan letupan dapat disekat sepenuhnya.

Sumber: Harian Metro

Iklan

Baca juga

Iklan