Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Sistem Outlook & Teams Tiba-Tiba Lumpuh, Microsoft Akhirnya Dedah Punca Sebenar

Microsoft tampil memohon maaf atas gangguan perkhidmatan Exchange Online dan Teams, selain menafikan dakwaan ia berpunca daripada serangan siber atau AI.

Sistem Outlook & Teams Tiba-Tiba Lumpuh, Microsoft Akhirnya Dedah Punca Sebenar
Gambar: gempak

Pernah tak anda tengah sibuk nak kejar tugasan pejabat atau hantar e-mel penting, tiba-tiba sistem Outlook langsung tak boleh buka? Situasi itulah yang terpaksa dihadapi ramai orang baru-baru ini apabila beberapa perkhidmatan utama Microsoft mengalami gangguan besar-besaran.

Kejadian itu membuatkan ramai pekerja pejabat, pihak sekolah sehinggalah kakitangan agensi kerajaan pening kepala. Mana tidaknya, urusan komunikasi rasmi dan mesyuarat dalam talian tiba-tiba tergendala begitu sahaja.

Iklan

Bukan Serangan Siber Atau Masalah AI

Bila sistem gergasi teknologi tiba-tiba 'down', macam-macam spekulasi mula timbul di media sosial. Ada yang bimbang sistem pengkalan data digodam penjenayah siber, dan ada juga yang meneka ia ada kaitan dengan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas digunakan sekarang.

Bagaimanapun, pihak Microsoft pantas menepis semua khabar angin tersebut. Menerusi satu kenyataan rasmi, mereka menegaskan bahawa gangguan perkhidmatan ini langsung tiada kena-mengena dengan sebarang bentuk serangan siber, AI mahupun ejen AI.

Syarikat itu menjelaskan masalah sebenar berpunca daripada isu teknikal dalaman. Ia berkait rapat dengan kerja-kerja menaik taraf kapasiti rangkaian yang pernah dijalankan sebelum ini, namun isu asas itu hanya mula timbul selepas berlakunya perubahan rangkaian baru-baru ini.

Iklan

Bermula Dari E-mel, Merebak Ke Aplikasi Lain

Masalah gangguan ini dikesan bermula pada hari Khamis dan berlarutan sehingga hari Jumaat. Semuanya berakar daripada gangguan pada Exchange Online, iaitu tulang belakang yang mengendalikan perkhidmatan e-mel perniagaan menerusi Outlook.

Bila bahagian utama ini terjejas, beberapa fungsi penting lain di bawah ekosistem Microsoft 365 turut terkena tempias. Antara perkhidmatan yang dilaporkan mengalami masalah termasuklah:

  • Kalendar dalam aplikasi Microsoft Teams
  • Ciri carian dan pembantu pintar Copilot
  • Sistem perkongsian fail SharePoint
  • Kelewatan penghantaran dan penerimaan e-mel perniagaan

Impak gangguan ini bukan calang-calang kerana banyak organisasi bergantung sepenuhnya pada platform berkenaan untuk operasi harian mereka.

Iklan

Microsoft Mohon Maaf, Pemulihan Dibuat Berperingkat

Menyedari kesulitan yang dihadapi oleh jutaan pengguna di seluruh dunia, Microsoft tampil memohon maaf secara terbuka kepada semua pelanggan dan rakan kongsi mereka. Pihak syarikat menyatakan bahawa mereka amat memahami betapa besarnya kepercayaan yang diletakkan pada sistem mereka, dan insiden sebegini dipandang amat serius.

Bagi mengelakkan sistem daripada tumbang semula akibat bebanan trafik yang tinggi, proses pemulihan terpaksa dilaksanakan secara berperingkat. Setiap fasa diuji terlebih dahulu tahap kestabilannya sebelum dibuka sepenuhnya kepada pengguna.

Walaupun langkah berhati-hati ini mengambil masa sedikit lama, Microsoft menjelaskan ia penting bagi memastikan sistem kembali beroperasi secara stabil. Setakat ini, sebahagian besar perkhidmatan dilaporkan sudah kembali pulih, walaupun masih ada segelintir pengguna di wilayah tertentu yang berdepan kelewatan e-mel.

Iklan

Bagi memberi penjelasan lanjut dan telus kepada pengguna, Microsoft turut berjanji akan menerbitkan laporan siasatan pascainsiden yang lengkap sebaik sahaja siasatan teknikal mereka selesai sepenuhnya nanti.

Sumber: gempak

Iklan

Baca juga

Iklan