Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Servis Cetak ePASS Palsu Serendah RM50 Tumpas, Dua Lelaki Bangladesh Ditahan

Sindiket cetak pas ePASS palsu serendah RM50 tumpas selepas Imigresen serbu sebuah rumah di Simpang Ampat dan menahan dua lelaki Bangladesh.

Servis Cetak ePASS Palsu Serendah RM50 Tumpas, Dua Lelaki Bangladesh Ditahan
Gambar: Harian Metro

Ada sesetengah pihak yang berani mengambil jalan pintas dengan membuka 'kilang' dokumen palsu sendiri demi mengaut keuntungan mudah. Modus operandi sindiket ini cukup berani apabila mereka menawarkan cetakan pas elektronik (ePASS) palsu dengan bayaran serendah RM50 sahaja.

Kegiatan haram berkenaan akhirnya terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Pulau Pinang berjaya menghidu taktik licik terbabit sebelum menggempur sebuah rumah kediaman di kawasan Simpang Ampat.

Iklan

Serbuan malam bongkar kegiatan licik

Dalam operasi kira-kira jam 10 malam itu, pihak berkuasa berjaya menahan dua lelaki warga Bangladesh yang masing-masing berusia 23 dan 32 tahun. Serbuan dibuat susulan maklumat risikan dan aduan orang awam yang curiga dengan aktiviti pemalsuan dokumen di lokasi berkenaan.

Pemeriksaan teliti di dalam rumah sewa tersebut membawa kepada penemuan beberapa pasport warga asing serta sejumlah besar kepingan cetakan ePASS yang telah diubah suai dan sedia untuk diedarkan.

Berdasarkan siasatan awal, sindiket ini menyasarkan warga asing dari Bangladesh dan Pakistan yang bekerja dalam sektor pembinaan. Golongan yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah atau yang tinggal lebih masa menjadi pelanggan utama kerana terdesak mahu terus berada di negara ini.

Iklan

Sindiket dikesan mengenakan bayaran sekitar RM50 hingga RM100 bagi setiap keping dokumen palsu. Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan caj sebenar boleh mencecah ratusan hingga ribuan ringgit bergantung kepada jenis urusan yang diminta.

Mata kasar tertipu, tapi kod QR tak boleh bohong

Jika dilihat sekali imbas, hasil cetakan dokumen palsu ini memang hampir menyerupai versi asli. Orang awam atau majikan yang kurang arif pasti sukar untuk membezakannya secara fizikal.

Modus operandi mereka sebenarnya cukup ringkas. Suspek hanya menyunting serta meminda maklumat pada salinan digital ePASS dan pasport menggunakan komputer riba, sebelum mencetaknya menggunakan mesin pencetak biasa.

Iklan

Walaupun kelihatan meyakinkan pada mata kasar, helah tersebut kantoi serta-merta apabila semakan digital dibuat. Pegawai imigresen melakukan semakan silang dalam sistem dan mengimbas kod QR, sekali gus mengesahkan dokumen berkenaan langsung tiada rekod sah.

Peralatan mencetak dan kenderaan disita

Selain lambakan dokumen palsu, pasukan serbuan turut merampas beberapa telefon bimbit, komputer riba serta mesin pencetak yang digunakan untuk menghasilkan pas berkenaan. Tiga buah kenderaan iaitu sebuah kereta dan dua motosikal yang dipercayai digunakan suspek untuk urusan harian turut disita.

Hasil semakan lanjut mendapati suspek berusia 23 tahun sebenarnya memiliki pas yang sah dalam sektor pembinaan. Namun, rakannya yang berusia 32 tahun langsung tidak mempunyai sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di Malaysia.

Iklan

Kedua-dua mereka kini ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 56 dan 52D Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966. Usaha juga sedang giat dijalankan bagi menjejaki individu lain yang disyaki bersekongkol dengan sindiket ini.

Sumber: Harian Metro

Iklan

Baca juga

Iklan