Sengaja Hina Presiden Demi Masuk Penjara, Kisah Gelandangan Ini Cukup Menyedihkan
Terdesak tiada makanan dan tempat berteduh, seorang warga emas di Turkiye sanggup menghina presiden semata-mata mahu dihumban ke dalam penjara.

Bila hidup dihimpit kemiskinan dan tiada lagi tempat bergantung, manusia kadangkala terpaksa memilih jalan yang langsung tak masuk akal demi meneruskan kelangsungan hidup. Itulah realiti menyayat hati yang berlaku kepada seorang warga emas di Turkiye baru-baru ini.
Lelaki berusia 66 tahun yang hanya dikenali sebagai RK ditahan pihak berkuasa di sebuah taman sekitar Alanya, sebuah bandar peranginan terkenal di wilayah Antalya. Sebab dia ditahan bukanlah kerana jenayah kekerasan atau mencuri, tetapi kerana sengaja melemparkan kata-kata penghinaan terhadap Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Bukan Niat Berpolitik, Cuma Mahu Makanan Dan Tempat Tidur
Bagi orang biasa, penjara adalah tempat yang paling ditakuti dan dijauhi. Namun bagi RK, berada di sebalik tirai besi rupa-rupanya menjadi satu-satunya cara untuk dia mendapatkan makanan percuma serta tempat berteduh yang selamat daripada kedinginan jalanan.
Ketika dihadapkan ke hadapan hakim, warga emas ini secara jujur mengakui perbuatannya tanpa berselindung. Dia menceritakan keadaan hidupnya yang terbiar tanpa rumah dan terpaksa melelapkan mata di kawasan pembuangan sampah setiap hari demi menyambung nyawa.
Mendengar pengakuan tersebut, hakim akhirnya memerintahkan dia ditahan sementara di dalam penjara sementara menunggu perbicaraan. Ironinya, arahan mahkamah itulah perkara yang memang ditunggu-tunggu oleh RK sejak sekian lama.
Tiga Kali Percubaan Terdahulu Gagal
Rupanya, tindakan nekad ini bukanlah kali pertama dilakukannya. Lelaki berkenaan dilaporkan pernah ditangkap sebanyak tiga kali sebelum ini atas pertuduhan yang serupa.
Bagaimanapun, dalam tiga cubaan terdahulu, nasib tidak menyebelahinya kerana pihak berkuasa tidak mengenakan perintah tahanan sementara seperti yang diharapkan. Hanya selepas cubaan keempat ini, barulah hasratnya untuk berehat dan makan di dalam sel penjara akhirnya tercapai.
Undang-Undang Ketat Menghina Pemimpin Di Turkiye
Tindakan menghina presiden di Turkiye bukanlah perkara main-main. Di bawah Artikel 299 Kanun Keseksaan negara berkenaan, sesiapa yang didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman penjara antara satu hingga empat tahun, malah tempoh hukuman boleh menjadi lebih panjang jika kesalahan dibuat secara terbuka.
Undang-undang ini sudah lama wujud, namun jumlah pendakwaannya meningkat dengan mendadak terutama selepas negara itu menukar sistem pentadbiran kepada presiden eksekutif pada 2018. Ribuan orang pernah berdepan tindakan mahkamah di bawah akta ini, daripada wartawan dan remaja hinggalah kepada bekas pemenang Miss Turkey.
Statistik rasmi Kementerian Kehakiman menunjukkan pendakwa raya membuka hampir 83,000 kertas siasatan antara 2016 hingga hujung 2025 di bawah peruntukan menghina presiden, simbol kebangsaan serta institusi kerajaan.
Kisah gelandangan ini benar-benar menjentik emosi ramai. Di saat orang lain bermati-matian mempertahankan kebebasan diri, ada insan yang rela mengorbankan maruah dan kebebasannya semata-mata demi sesuap makanan dan sekeping tilam untuk tidur.
Sumber: Harian Metro
Baca juga

Mohon Di Pasir Mas Tiada Jawapan, Kerusi Roda Akhirnya Sampai Dari Bukit Mertajam
Buntu rayuan di tempat sendiri tiada maklum balas, seorang lelaki Pasir Mas akhirnya terima bantuan kerusi roda daripada pejabat wakil rakyat Bukit Mertajam.

Aktif Ragbi Hingga Inovasi, Anak Dr Sheikh Muszaphar Raih Anugerah Harapan TKC
Anak kedua Dr Sheikh Muszaphar, Sophea Natasha dinobatkan penerima Anugerah Murid Harapan 2026 di TKC selepas cemerlang dalam sukan lasak dan akademik.

Dulu Kawan Sekampus, Kini Dua Sahabat Cipta Nama Bersama Di THR Gegar
Bermula dari bilik kuliah, dua graduan penyiaran berusia 24 tahun ini buktikan rezeki dan usaha mampu satukan mereka kembali sebagai rakan sekerja di konti radio.