Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Seludup Kokain Dalam Kasut Ke Jepun, Suspek Dakwa Petugas Lapangan Terbang Dah Dibayar

Lima rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo selepas cuba menyeludup 5kg kokain di dalam kasut. Suspek mendakwa kononnya laluan sudah dijamin selamat.

Seludup Kokain Dalam Kasut Ke Jepun, Suspek Dakwa Petugas Lapangan Terbang Dah Dibayar
Gambar: OH! Media

Niat nak dapat duit mudah bertukar menjadi mimpi ngeri buat lima rakyat Malaysia apabila cubaan mereka membawa masuk dadah ke negara matahari terbit itu tumpas di pintu masuk antarabangsa.

Kumpulan yang terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita ini ditahan pihak berkuasa pada 10 Oktober lalu di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira lima kilogram dadah jenis kokain.

Iklan

Taktik Selit Kokain Bawah Pelapik Kasut Kantoi

Bila tengok cara sindiket ini bergerak, modusnya nampak macam biasa didengar tapi agak berani. Setiap suspek didapati membawa sekitar satu kilogram kokain yang disembunyikan kemas di bawah pelapik kasut mereka.

Maknanya, lebih kurang 500 gram dadah dimampatkan ke dalam setiap belah kasut yang dipakai. Tapi pihak kastam di sana bukannya mudah diperdaya.

Taktik licik itu akhirnya terbongkar selepas pegawai kastam Jepun berasa curiga melihat kasut seorang daripada suspek yang kelihatan terlalu tebal dan luar biasa. Sebaik sahaja pemeriksaan teliti dilakukan, tembelang mereka terus pecah.

Iklan

Percaya Dakwaan Petugas Sudah Disogok

Apa yang lebih mengejutkan ialah pengakuan salah seorang suspek lelaki berusia 24 tahun. Dia mendakwa mereka sebelum ini telah diyakinkan bahawa urusan di lapangan terbang sudah diatur rapi.

Suspek memberitahu bahawa dia dimaklumkan petugas lapangan terbang sudah pun menerima bayaran sogokan supaya kumpulan mereka tidak diperiksa langsung. Rasa percaya itulah yang membuatkan dirinya rasa lega dan berani meneruskan perjalanan.

Walau bagaimanapun, tiada pengesahan dibuat mengenai lapangan terbang mana yang dimaksudkan oleh suspek, mahupun kesahihan sama ada bayaran rasuah tersebut benar-benar berlaku atau sekadar janji manis sindiket untuk memanipulasi mereka.

Iklan

Masalah Kewangan Jerat Diri Sendiri

Difahamkan, kesemua suspek dipercayai sanggup mengambil risiko bahaya ini kerana terhimpit dengan masalah kewangan. Sindiket biasanya mengambil kesempatan ke atas individu yang terdesak dengan menawarkan upah lumayan tanpa memikirkan nasib keldai dadah yang bakal dihumban ke penjara.

Isu ini turut mendapat perhatian serius pihak berkuasa tempatan. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, telah mengesahkan penahanan lima warga tempatan berkenaan.

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga tidak berdiam diri dan bersedia menghantar pasukan siasatan khas ke Jepun untuk mendapatkan gambaran lebih terperinci mengenai kes ini.

Iklan

Siasatan Lanjut Rangkaian Sindiket

Langkah susulan ini diambil bagi meneliti sama ada tangkapan di Haneda ini mempunyai kaitan langsung dengan rangkaian sindiket pengedaran dadah yang bertapak di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.

Kisah ini patut jadi pengajaran besar kepada sesiapa sahaja. Jangan sesekali terpedaya dengan janji manis pihak yang menawarkan kerja mudah membawa barang ke luar negara, kononnya laluan sudah dijamin selamat.

Sumber: OH! Media

Iklan

Baca juga

Iklan