Siakap KeliLive · Auto-update
Hiburan

Sanggup Berhabis Enam Angka, Nur Shahida Hadiahkan Plat ALF 1 Buat Aliff Syukri

Datin Seri Nur Shahida berhabis ratusan ribu ringgit menghadiahkan nombor pendaftaran ALF 1 buat Aliff Syukri selepas bosan mendengar suaminya kerap menyebut perkara sama.

Sanggup Berhabis Enam Angka, Nur Shahida Hadiahkan Plat ALF 1 Buat Aliff Syukri
Gambar: gempak

Kalau dah sayang, apa sahaja sanggup dilakukan demi membahagiakan pasangan tercinta. Begitulah yang dibuktikan oleh usahawan terkenal, Datin Seri Nur Shahida apabila tidak berkira membelanjakan wang yang cukup besar demi memenuhi impian suaminya, Datuk Seri Aliff Syukri.

Bukan calang-calang hadiah, Shahida dilaporkan berhabis sehingga mencecah ratusan ribu ringgit semata-mata mahu mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan eksklusif iaitu ALF 1.

Iklan

Penat Dengar Suami Mengulang Benda Sama

Bercerita mengenai tindakan luar biasanya itu, Shahida mengakui keputusan membelikan nombor plat berkenaan dibuat selepas dia sudah 'naik bosan' mendengar suaminya kerap merungut dan mengutarakan impian tersebut secara berulang kali.

Pada awalnya, Aliff memberikan pelbagai alasan termasuk mendakwa kenderaan itu mahu digunakan untuk urusan pejabat. Malah, gelagat suaminya yang sekejap beria mahu membeli dan sekejap pula membatalkan niat membuatkan Shahida akhirnya mengambil keputusan untuk membelinya sendiri.

Bagi Shahida, tindakan tersebut bukan sekadar menuruti kehendak pasangan semata-mata, sebaliknya adalah ganjaran paling layak buat Aliff yang tidak pernah berhenti membanting tulang menguruskan perniagaan.

Iklan

Dia melihat sendiri bagaimana suaminya itu bekerja keras siang dan malam serta ligat bersiaran langsung di media sosial tanpa henti demi mencari rezeki. Oleh itu, tiada salahnya jika wang hasil penat lelah Aliff sendiri digunakan untuk memberi ganjaran kepada dirinya.

Plat Simbolik Nama Dan Pelaburan Masa Depan

Menjelaskan tentang signifikan di sebalik pilihan nombor pendaftaran terbabit, Shahida memberitahu huruf ALF 1 diambil bersempena dengan nama suaminya sendiri iaitu Aliff.

Nombor pendaftaran satu digit sememangnya terkenal dengan harga pasaran yang sangat tinggi sehingga mencecah ratusan ribu ringgit. Sebelum ini, pasangan usahawan ini sudah pun mempunyai dua nombor pendaftaran satu digit lain dalam simpanan mereka iaitu ADH 1 dan PMD 1.

Iklan

Namun, pembelian itu bukan semata-mata demi gaya. Menurut Shahida, nombor plat satu digit mempunyai nilai pasaran yang berpotensi terus meningkat saban tahun, sekali gus menjadikannya satu aset bernilai yang boleh diwarisi sehingga ke anak cucu.

Aliff Janji Buat Apa Sahaja Demi Isteri

Tersentuh dengan kejutan bernilai tinggi tersebut, Aliff menzahirkan rasa penghargaan dan terima kasih yang mendalam atas kemurahan hati isterinya. Dia sempat berjanji akan melakukan apa sahaja demi Shahida kerana wanita itu amat berharga dalam hidupnya.

Dalam nada berseloroh, usahawan berkenaan turut membayangkan hasrat untuk menambah satu lagi koleksi nombor pendaftaran tunggal memandangkan dia kini sudah memiliki tiga nombor plat bernombor satu, sekiranya diberikan 'lampu hijau' oleh isterinya.

Sumber: gempak

Iklan

Baca juga

Iklan