Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Sampai Bila Malaysia Jadi Transit Pelarian? Syed Saddiq Buka Data Mengejutkan

Syed Saddiq mempersoalkan status Malaysia sebagai negara transit selepas data penempatan pelarian ke negara ketiga menerusi UNHCR menjunam sehingga 80 peratus.

Sampai Bila Malaysia Jadi Transit Pelarian? Syed Saddiq Buka Data Mengejutkan
Gambar: ohmymedia.cc

Isu kehadiran pelarian di Malaysia bukanlah perkara baharu, malah sering menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan masyarakat. Dari dahulu lagi, kita sering diberitahu bahawa tanah air kita ini hanyalah negara transit sementara menunggu mereka ditempatkan di negara ketiga. Namun persoalannya, sampai bila tempoh persinggahan ini perlu berlarutan?

Persoalan itulah yang ditegaskan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini. Beliau meluahkan kebimbangan mengenai penurunan mendadak jumlah pelarian yang dihantar keluar menerusi Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Iklan

Penurunan Mendadak Sehingga 80 Peratus

Menerusi perkongsian di laman media sosial miliknya, Syed Saddiq mendedahkan statistik yang agak mengejutkan mengenai proses penempatan semula ini. Menurut rekod, seramai 7,012 pelarian berjaya berlepas ke negara ketiga menerusi UNHCR sepanjang tahun 2024.

Namun begitu, angka tersebut menjunam kira-kira 80 peratus pada tahun 2025, apabila hanya 1,365 individu sahaja yang dipindahkan. Keadaan nampaknya semakin perlahan apabila dalam tempoh tiga bulan pertama tahun 2026, cuma 323 orang yang dilaporkan berlepas.

Jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan pelarian yang kini melebihi 200,000 orang di Malaysia, kadar penghantaran itu dirasakan sangat perlahan. Keadaan ini membuatkan ramai tertanya-tanya bila sebenarnya pihak UNHCR dan negara penerima mahu menunaikan janji yang pernah dibuat.

Iklan

Penjelasan Kerajaan di Dewan Rakyat

Kenyataan Syed Saddiq itu menyusul selepas beliau menerima jawapan bertulis daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat. Sebelum ini, beliau meminta penjelasan rasmi mengenai pendirian kerajaan terhadap kemasukan pelarian serta tindakan susulan UNHCR selepas tamatnya tempoh transit.

Dalam jawapan yang diberikan, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa urusan penempatan pemegang kad UNHCR ke negara ketiga dibuat selaras dengan komitmen Malaysia terhadap hak asasi manusia. Walau bagaimanapun, pelaksanaannya tertakluk sepenuhnya kepada keputusan negara penerima yang menetapkan syarat kelayakan serta kuota kemasukan pada satu-satu masa.

Beban Berpanjangan Buat Negara

Melihat kepada situasi tersebut, Syed Saddiq berpandangan bahawa Malaysia sudah terlalu lama menanggung pelbagai kesan sampingan akibat isu ini yang tiada kesudahan. Beliau turut mendesak kerajaan menyatakan pelan tindakan sekiranya negara penerima dan UNHCR terus gagal memenuhi komitmen yang dijanjikan.

Iklan

Isu ini wajar diberi perhatian serius kerana status sebagai negara transit tidak sepatutnya bertukar menjadi penempatan kekal tanpa hala tuju yang jelas. Jika tiada ketegasan dan penyelesaian konkrit, beban pengurusan ini akhirnya akan terus terpikul di bahu rakyat dan negara.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan