Siakap KeliLive · Auto-update
Sukan

Rebutan Final Piala Dunia 2030: Sepanyol Tetap Berkeras Mahu Jadi Tuan Rumah

Presiden RFEF menegaskan aksi final Piala Dunia 2030 mesti berlangsung di Sepanyol, sekali gus menepis desakan politik agar negara itu menarik diri.

Rebutan Final Piala Dunia 2030: Sepanyol Tetap Berkeras Mahu Jadi Tuan Rumah
Gambar: Harian Metro

Debang penganjuran Piala Dunia 2030 semakin panas walaupun kejohanan berprestij itu lambat lagi nak tiba. Isu paling hangat yang tengah jadi perdebatan sekarang adalah di mana aksi final bakal dilangsungkan.

Untuk edisi 2030, Sepanyol berkongsi tugas selaku penganjur bersama dua lagi negara iaitu Portugal dan Maghribi. Namun, siapa yang bakal dipilih sebagai pentas aksi penutup masih menjadi tanda tanya besar dan keputusan rasmi hanya akan dibuat sekitar tahun 2028 nanti.

Iklan

Sepanyol Bertegas, Tiada Pilihan Lain

Menjawab segala spekulasi yang bertiup kencang, Presiden Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF), Rafael Louzan tampil memberi jaminan tegas. Beliau menegaskan bahawa dalam fikiran pihak persatuan, aksi final tiada tempat lain selain di bumi Sepanyol sendiri.

Penegasan ini disuarakan Louzan dalam satu persidangan di ibu pejabat RFEF, Ciudad del Futbol, Madrid. Menurutnya, mereka langsung tidak pernah membincangkan kemungkinan aksi kemuncak itu akan terlepas ke tangan negara rakan penganjur yang lain.

Louzan juga berpandangan jika melihat kepada tradisi penggiliran benua yang diamalkan oleh FIFA, giliran untuk menganjurkan perlawanan akhir sepatutnya menjadi milik benua Eropah.

Iklan

Tekanan Politik Dan Cadangan Tarik Diri

Kenyataan daripada bos bola sepak Sepanyol ini sebenarnya hadir bagi meredakan ketegangan politik domestik. Sebelum ini, pemimpin Parti Rakyat (PP) berhaluan kanan, Alberto Nunez Feijoo mencadangkan Sepanyol wajar menarik diri sekiranya pentas final diberikan kepada Maghribi.

Kenyataan itu dibuat Feijoo dalam satu sesi temu bual televisyen menjelang pilihan raya umum negara terbabit. Bagaimanapun, Louzan menyifatkan gesaan sebegitu hanyalah andaian semata-mata dan menegaskan tiada sebarang perbincangan untuk menarik diri daripada bidaan berkenaan.

Persaingan Sengit Dua Stadium Gergasi

Perebutan venue final ini memang menarik kerana melibatkan dua gelanggang serba canggih dan gah:

Iklan
  • Stadium Santiago Bernabeu (Sepanyol): Gelanggang ikonik milik kelab gergasi Real Madrid ini menjadi taruhan utama Sepanyol dengan segala kemudahan moden selepas kerja pengubahsuaian selesai.
  • Stadium Hassan II (Maghribi): Maghribi pula mempertaruhkan sebuah stadium mega berkapasiti 115,000 tempat duduk yang kini sedang giat dibina di Benslimane, berdekatan Casablanca.

Bagi rakan penganjur ketiga iaitu Portugal, mereka sudah sedia maklum tidak mempunyai venue dengan kapasiti yang cukup besar bagi menepati kriteria perlawanan akhir FIFA.

Dengan kedua-dua pihak menawarkan kelebihan masing-masing, bola kini berada di tangan badan induk bola sepak dunia untuk membuat kata putus beberapa tahun lagi.

Sumber: Harian Metro

Iklan

Baca juga

Iklan