Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Ramai Tak Tahu Toyota Sebenarnya Ada Hospital Sendiri, Siap Guna Robot Hantar Ubat

Siapa sangka jenama automotif gergasi Toyota mempunyai hospital sendiri di Jepun yang dilengkapi 527 katil dan khidmat robot khas untuk bantu jururawat.

Ramai Tak Tahu Toyota Sebenarnya Ada Hospital Sendiri, Siap Guna Robot Hantar Ubat
Gambar: OH! Media

Bila sebut nama Toyota, fikiran kita automatik melayang pada model kenderaan popular seperti Vios, Hilux atau Alphard yang bersepah atas jalan raya. Tapi, pernahkah anda terbayang yang syarikat gergasi automotif ini sebenarnya menguruskan sebuah hospital sendiri?

Bukan sekadar memegang hak nama, pusat perubatan yang dikenali sebagai Toyota Memorial Hospital di Toyota City, Jepun ini memang dikendalikan sepenuhnya sebagai salah satu jabatan di bawah Toyota Motor Corporation. Malah, doktor dan jururawat di sana merupakan pekerja rasmi syarikat pengeluar kenderaan tersebut.

Iklan

Bermula Dari Klinik Pekerja Pada Tahun 1938

Hospital ini bukanlah kemudahan yang baru dibina semalam. Sejarahnya bermula sejak tahun 1938 lagi sebagai sebuah klinik kecil yang diwujudkan khas untuk menjaga kebajikan serta kesihatan para pekerja kilang Toyota.

Lama-kelamaan, fasiliti ini berkembang maju seiring dengan kejayaan syarikat. Kini, ia beroperasi sebagai pusat perubatan moden yang mempunyai kapasiti sebanyak 527 katil pesakit.

Walaupun asalnya dibangunkan untuk kakitangan syarikat, pintu hospital ini turut dibuka luas kepada orang awam, terutamanya bagi kes kecemasan. Buktinya, sebanyak 9,212 kes ketibaan ambulans telah direkodkan di hospital berkenaan sepanjang tahun 2024 sahaja.

Iklan

Kehadiran Robot Potaro Bantu Ringankan Tugas

Apa yang membuatkan hospital ini unik adalah penerapan teknologi automotif dalam operasi harian mereka. Antara pembaharuan paling menarik ialah kehadiran robot pembantu yang diberi nama Potaro.

Robot ini dibangunkan bersama oleh jurutera Toyota dan warga kerja hospital itu sendiri. Tugas Potaro sangat penting, iaitu menghantar ubat-ubatan, sampel pemeriksaan makmal serta peralatan perubatan ke lokasi yang ditetapkan.

Sebanyak 24 unit robot Potaro kini aktif berkhidmat di sana dengan mengendalikan purata kira-kira 170 penghantaran setiap hari. Dilengkapi kamera dan teknologi pengecaman imej canggih, Potaro boleh menggunakan lif secara berdikari dan bijak memberi laluan kepada katil pesakit atau troli makanan di koridor.

Iklan

Tujuan utama penggunaan robot ini bukanlah untuk menggantikan tenaga jururawat. Sebaliknya, ia meringankan beban tugasan berulang supaya para jururawat dapat meluangkan lebih banyak masa menjaga dan memberi perhatian kepada pesakit.

Sentuhan Falsafah Kaizen Dalam Wad Perubatan

Selain teknologi robotik, hospital berkenaan turut menerapkan falsafah pembuatan terkenal syarikat iaitu Toyota Production System (TPS) dan konsep Kaizen. Prinsip ini menekankan aspek penambahbaikan berterusan serta pengurangan pembaziran.

Presiden Toyota Motor Asia, Hao Quoc Tien ketika lawatan media ke Toyota Technical Center Shimoyama menegaskan bahawa usaha menjadi lebih baik tidak pernah bernoktah. Falsafah syarikat sentiasa berteraskan dua nilai utama, iaitu penambahbaikan berterusan dan rasa hormat yang mendalam terhadap manusia.

Iklan

Di Toyota Memorial Hospital, pendekatan Kaizen diterjemahkan melalui penyusunan semula aliran kerja dan susun atur peralatan. Mereka juga mempunyai bengkel dalaman sendiri untuk menghasilkan alat-alat khas bagi memudahkan tugasan harian petugas kesihatan.

Inisiatif ini membuktikan kepakaran dunia kejuruteraan automotif mampu dimanfaatkan untuk memperkasa sektor perubatan tanpa mengetepikan sentuhan kemanusiaan.

Sumber: OH! Media

Iklan

Baca juga

Iklan