Siakap KeliLive · Auto-update
Viral

Pecah Rekod TikTok! Alha Alfa Raih Jualan RM2.5 Juta Dalam Tempoh Dua Hari

Jenama kosmetik tempatan Alha Alfa cipta rekod baharu di TikTok apabila berjaya meraih jualan RM2.5 juta dalam tempoh dua hari sempena kempen jualan 11.11.

Pecah Rekod TikTok! Alha Alfa Raih Jualan RM2.5 Juta Dalam Tempoh Dua Hari
Gambar: gempak

Sebut sahaja pesta jualan mega 11.11, memang ramai yang tidak melepaskan peluang memburu pelbagai tawaran istimewa daripada jenama kegemaran masing-masing. Namun, kempen kali ini nampaknya meninggalkan memori yang cukup luar biasa buat jenama kosmetik tempatan, Alha Alfa Cosmetics.

Jenama yang diasaskan oleh usahawan terkenal, Datuk Alha Alfa, berjaya melakar sejarah tersendiri di platform TikTok. Mereka berjaya mencatatkan nilai jualan melebihi RM1 juta sehari selama dua hari berturut-turut sepanjang kempen berlangsung.

Iklan

Jika digabungkan kedua-dua hari berkenaan, jumlah jualan keseluruhannya mencecah RM2.5 juta. Lebih mengagumkan, angka luar biasa itu berjaya dicapai menerusi sesi siaran langsung yang berlangsung kurang daripada 20 jam secara keseluruhan.

Hari Pertama 7 Jam, Hari Kedua 9 Jam

Menurut pihak jenama, pencapaian meraih jualan melepasi angka RM1 juta sehari untuk dua hari berturut-turut ini memecahkan rekod platform tersebut kerana belum pernah dilakukan oleh mana-mana jenama lain sebelum ini.

Berkongsi rasa gembira dan syukur, Datuk Alha Alfa mengakui kejayaan tersebut amat bermakna buat dirinya dan seluruh tenaga kerja yang bertungkus-lumus menjayakan siaran langsung berkenaan.

Iklan

Jelasnya, pada hari pertama siaran, sasaran jualan RM1 juta berjaya dicapai dalam tempoh tujuh jam sahaja. Momentum itu diteruskan pada hari kedua apabila mereka sekali lagi merekodkan RM1 juta dalam masa sembilan jam, sebelum sesi live berakhir dengan jumlah keseluruhan RM2.5 juta.

Hargai Pasukan Belakang Tabir dan Sokongan Pembeli

Mencatat jualan jutaan ringgit dalam masa singkat bukanlah perkara yang boleh dilakukan berseorangan. Datuk Alha sendiri menegaskan bahawa tulang belakang sebenar kejayaan ini terletak pada pasukannya yang berhempas-pulas di belakang tabir.

Menurutnya, penonton hanya melihat individu yang beraksi di hadapan lensa kamera. Namun hakikatnya, ada sekumpulan besar pekerja di belakang tabir yang memastikan operasi siaran langsung dan urusan pesanan berjalan lancar tanpa henti.

Iklan

Selain itu, beliau meluahkan rasa terharu dengan kesetiaan para pembeli. Menyedari pelanggan hari ini mempunyai banyak pilihan lain di pasaran, kesudian mereka menyokong produk keluarannya adalah satu kepercayaan yang amat dihargai.

Kepercayaan Pelanggan Jadi Keutamaan

Walaupun teruja dengan rekod baharu yang dicipta, Datuk Alha menganggap pencapaian ini bukan sekadar tentang mengejar angka semata-mata.

Baginya, kejayaan ini menjadi pemangkin semangat untuk pasukannya terus mengekalkan kualiti dan memberikan yang terbaik. Misi utamanya adalah memastikan setiap pelanggan berpuas hati dan terus meletakkan keyakinan terhadap jenama tempatan ini.

Iklan

Kejayaan ini sekaligus membuktikan keupayaan produk buatan tempatan untuk terus mendominasi pasaran digital dan bersaing hebat apabila strategi yang digunakan kena pada tempatnya.

Sumber: gempak

Iklan

Baca juga

Iklan