Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Nasi Kerabu Kelantan Didaftar Cap Kolektif, Kubis Dan Tauge Kini Rasmi Dilarang

Nasi Kerabu Kelantan kini sah didaftar sebagai Cap Kolektif MyIPO. Penggunaan kubis, tauge dan pewarna tiruan dilarang sama sekali demi memelihara keaslian resipi warisan.

Nasi Kerabu Kelantan Didaftar Cap Kolektif, Kubis Dan Tauge Kini Rasmi Dilarang
Gambar: gempak

Siapa peminat tegar nasi kerabu kat sini? Makanan tradisi tersohor dari Pantai Timur ini memang ada pengikut setia di serata pelusuk Malaysia. Namun selepas ini, kalau anda singgah makan dan nampak ada hirisan kubis atau tauge mentah dalam pinggan, hidangan itu sah bukan Nasi Kerabu Kelantan yang asli mengikut piawaian rasmi.

Hidangan ikonik ini telah didaftarkan secara rasmi sebagai Cap Kolektif di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menerusi kerjasama strategik bersama Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO). Langkah ini diambil untuk melindungi nilai komersial serta mempertahankan resipi warisan nenek moyang daripada terus diubah suai sesuka hati.

Iklan

Kenapa Kubis Dan Tauge Tak Boleh Digunakan?

Pasti ramai yang tertanya-tanya, kenapa sampai nak letak kubis dan tauge pun tidak dibenarkan? Mengikut penetapan Cap Kolektif tersebut, kedua-dua sayur ini dilarang sama sekali bagi memastikan profil rasa dan identiti asal hidangan tradisional Kelantan itu tidak terjejas.

Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff menjelaskan bahawa mana-mana pengusaha makanan yang mahu memakai identiti Cap Kolektif Nasi Kerabu Kelantan perlu patuh sepenuhnya pada senarai bahan yang telah ditetapkan. standard ini diwujudkan supaya keaslian menu berkenaan tidak dicemari dengan ramuan luar yang lari daripada tradisi.

Pewarna Tiruan Ditolak, Wajib Guna Bunga Telang

Bukan sekadar bab sayur, warna biru nasi itu sendiri ada peraturannya. Pengusaha langsung tidak dibenarkan menggunakan sebarang pewarna tiruan. Warna biru tersebut wajib dihasilkan secara semula jadi menggunakan ekstrak bunga telang.

Iklan

Selain itu, ulam-ulaman yang wajib dikekalkan mestilah berteraskan herba tradisional yang memberi aroma segar dan rasa autentik, antaranya:

  • Daun kesum
  • Timun tempatan
  • Daun selom

Kombinasi herba ini sangat penting kerana aroma serta rasanya yang unik menjadi nadi utama yang membezakan Nasi Kerabu Kelantan dengan variasi nasi ulam di negeri lain.

Tingkatkan Martabat Pelancongan Gastronomi

Pendaftaran cap dagangan bersama yang dibuat sejak 29 Julai lalu membolehkan peniaga yang melepasi piawaian menggunakan jenama Nasi Kerabu Kelantan secara sah. Sijil Cap Kolektif ini turut diserahkan kepada Persatuan Pengusaha Restoran Melayu Kelantan (PERMEKA) sambil disaksikan Timbalan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Zameri Mat Nawang.

Iklan

PERMEKA kini memainkan peranan besar untuk memantau kualiti serta memastikan nama baik hidangan ini terus terpelihara. Inisiatif perlindungan harta intelek ini diyakini mampu meningkatkan keyakinan pelancong luar terhadap kualiti makanan tempatan, sekali gus menjana ekonomi komuniti setempat melalui sektor gastronomi.

Jadi, lepas ini kalau teringin nak nikmati hidangan yang betul-betul asli, pastikan periksa dulu bahan dalam pinggan anda. Tiada lagi kubis atau tauge untuk versi yang asli!

Sumber: gempak

Iklan

Baca juga

Iklan