Siakap KeliLive · Auto-update
Hiburan

Motosikal Batpod 'The Dark Knight' Bakal Dilelong, Cecah Nilai RM4.88 Juta

Motosikal ikonik Batpod dari filem The Dark Knight bakal dilelong Disember ini dengan anggaran harga bidaan mencecah sehingga RM4.88 juta.

Motosikal Batpod 'The Dark Knight' Bakal Dilelong, Cecah Nilai RM4.88 Juta
Gambar: gempak

Siapa yang pernah menonton filem The Dark Knight pasti sukar melupakan babak mendebarkan apabila jentera Tumbler musnah lalu muncul sebuah motosikal bertayar gergasi yang cukup futuristik. Jentera yang dikenali sebagai Batpod itu bukan sekadar menggegarkan pawagam pada tahun 2008, malah kini bersedia untuk mencari pemilik baharu dalam kalangan pengumpul barangan filem tegar.

Motosikal ikonik tersebut bakal dilelong menerusi sebuah syarikat lelongan barangan hiburan terkenal, Propstore. Sesiapa yang berhasrat membawa pulang jentera adiwira ini perlu bersedia dengan poket tebal kerana nilai bidaannya dianggarkan boleh mencecah antara £450,000 hingga £900,000, iaitu sekitar RM2.44 juta hingga RM4.88 juta.

Iklan

Lelongan Berprestij di London

Acara lelongan berkenaan dijadualkan berlangsung dari 4 hingga 6 Disember 2026. Pembida dari serata dunia berpeluang merebut jentera ini sama ada menerusi bidaan dalam talian ataupun hadir sendiri ke lokasi acara di Akademi Seni Filem dan Televisyen British (BAFTA), London.

Bagi penggemar trilogi arahan Christopher Nolan, Batpod menyimpan nilai nostalgia yang sangat tinggi. Jentera ini beraksi dalam babak kejar-mengejar paling epik membabitkan Batman lakonan Christian Bale dan watak Joker yang dilakonkan dengan cemerlang oleh mendiang Heath Ledger. Selain filem tersebut, motosikal ini turut membuat kemunculan semula dalam naskhah sekuelnya, The Dark Knight Rises pada tahun 2012.

Untuk rekod, pembikinan naskhah kedua trilogi itu melibatkan skala penggambaran luar biasa di Chicago, Amerika Syarikat dan Hong Kong, selain set dalaman mega yang dibina khas di hangar kapal udara Cardington, Bedfordshire.

Iklan

Kostum Batman dan Khazanah Filem Lain Turut Dilepas

Menariknya, Batpod bukanlah satu-satunya barangan dari Gotham yang akan dilelong. Peminat juga berpeluang membida sut Batman lengkap yang pernah disarung Christian Bale dalam filem pertama, Batman Begins.

Kostum penuh bersejarah ini dianggarkan bernilai sekitar £125,000 hingga £250,000, iaitu kira-kira RM678,000 hingga RM1.36 juta.

Selain dunia adiwira, lelongan kali ini turut menampilkan beberapa barangan legenda lain untuk pengumpul koleksi klasik:

Iklan
  • Topi fedora, kemeja dan cemeti daripada filem Indiana Jones and the Temple of Doom, yang asalnya milik lagenda pelakon lagak ngeri Vic Armstrong.
  • Barangan eksklusif daripada siri televisyen popular Game of Thrones.
  • Koleksi prop daripada filem retro Superman III dan Conan the Barbarian.

Ketua Pegawai Eksekutif Propstore, Stephen Lane, menyifatkan Batpod sebagai satu pencapaian kejuruteraan dan pembikinan filem yang luar biasa. Baginya, gabungan jentera hebat ini bersama prop bersejarah daripada francais besar seperti Indiana Jones menjadikan katalog lelongan kali ini antara yang paling istimewa pernah ditawarkan.

Sumber: gempak

Iklan

Baca juga

Iklan