Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Menanti Lebih 70 Tahun, Tandas Awam RM200K Di Little India Ipoh Akhirnya Siap

Peniaga dan pengunjung Little India di Ipoh kini boleh menarik nafas lega selepas penantian lebih 70 tahun untuk kemudahan tandas awam akhirnya terlaksana.

Menanti Lebih 70 Tahun, Tandas Awam RM200K Di Little India Ipoh Akhirnya Siap
Gambar: ohmymedia.cc

Bayangkan puluhan tahun berniaga atau berkunjung ke satu kawasan tumpuan yang meriah, tetapi bila tiba panggilan alam, anda terpaksa pening kepala mencari tempat untuk melepaskan hajat. Itulah realiti yang sekian lama dihadapi oleh peniaga dan masyarakat setempat di kawasan Little India, Ipoh.

Keresahan berdekad lamanya itu kini bernoktah. Penantian lebih tujuh dekad warga setempat berakhir apabila sebuah tandas awam serba baharu bernilai RM200,000 siap dibina untuk keselesaan orang ramai.

Iklan

Tandas Awam Ke-12,000 Bawah Inisiatif MADANI

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkongsi bahawa projek berkenaan cukup bermakna kerana ia menamatkan penantian panjang sejak hampir seabad kawasan perniagaan itu wujud tanpa kemudahan berkenaan.

Kemudahan bertaraf Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) ini turut melakar rekod tersendiri apabila menjadi tandas awam yang ke-12,000 berjaya disiapkan serta dinaik taraf di bawah Kerajaan MADANI.

Beliau menyifatkan pencapaian ini sebagai langkah proaktif yang membuktikan komitmen dalam memperkasa fasiliti asas rakyat di seluruh negara.

Iklan

Tepat Pada Masanya Sempena Deepavali

Khabar gembira ini hadir tepat pada waktunya buat warga Ipoh. Kawasan Little India dijangka menjadi tumpuan ramai pengunjung yang hadir menyaksikan persembahan muzik serta kebudayaan selama empat malam berturut-turut bermula 3 hingga 6 November ini.

Bagi menyerikan lagi persiapan perayaan, Nga yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Peniaga-Peniaga Little India Ipoh untuk menceriakan kawasan sekitar.

Bakal Perkenal Tandas Pintar Enam Bintang

Bukan sekadar di Ipoh, usaha menambah baik tandas awam nampaknya terus diperhebat ke peringkat seterusnya. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang untuk memperluas penyertaan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam Anugerah Tandas Terbaik Malaysia akan datang, susulan kejayaan menaik taraf 1,530 tandas di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Iklan

Lebih menarik, kementerian kini bersedia memperkenalkan konsep tandas pintar enam bintang atau BMW Intelligent (BMW-i) di beberapa lokasi tumpuan pelancong.

Antara lokasi strategik yang bakal menikmati kemudahan canggih ini termasuklah:

  • Bukit Bintang, Kuala Lumpur
  • Floria Putrajaya

Langkah ini diambil selepas kejayaan projek perintis di Dataran Putra, Putrajaya. KPKT meletakkan sasaran agar setiap ibu negeri di seluruh Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya sebuah tandas pintar BMW-i, dengan kos pembinaan dihadkan tidak melebihi RM1 juta bagi setiap unit kemudahan.

Iklan

Penyediaan tandas yang bersih bukan sahaja memudahkan urusan harian orang ramai, malah memberi impak besar terhadap imej kebersihan negara di mata pelawat luar.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan