Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Malaysia Pertimbang Tuntut Pampasan Jerebu Rentas Sempadan, Kaji Undang-Undang Antarabangsa

Kerajaan bersedia meneliti saluran undang-undang antarabangsa bagi menuntut pampasan jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kesihatan serta ekonomi rakyat.

Bila tiba musim jerebu, bukan setakat pemandangan luar tingkap jadi kelabu, tekak pun mula perit dan batuk tak henti-henti. Masalah pencemaran udara yang berpunca dari negara jiran ini nampaknya bukan lagi perkara yang boleh ditelan begitu sahaja oleh rakyat Malaysia.

Terbaharu di Dewan Rakyat, kerajaan menyatakan keterbukaan untuk melihat semula saluran perundangan antarabangsa. Langkah ini diambil bagi membolehkan tuntutan pampasan atau ganti rugi dibuat akibat kesan buruk jerebu rentas sempadan.

Iklan

Perjanjian ASEAN Tiada Klaus Pampasan

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menjelaskan bahawa Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang sedia ada sebenarnya tidak mempunyai peruntukan khusus mengenai tuntutan ganti rugi antara negara anggota.

Disebabkan kelompangan itu, Malaysia sedia meneroka mekanisma undang-undang lain di peringkat global yang bersesuaian. Namun, sebelum sebarang tindakan lanjut boleh diambil, satu penilaian menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu.

Kerajaan perlu mengira anggaran sebenar kerugian ekonomi yang ditanggung, termasuk kos rawatan kesihatan awam, penurunan produktiviti pekerja dan impak kepada pelbagai sektor perniagaan. Data kukuh ini penting untuk dijadikan sandaran tindakan perundangan nanti.

Iklan

Bantuan Untuk Pekerja Gig Diteliti

Selain isu saman atau ganti rugi antara negara, nasib orang ramai yang terpaksa bekerja di luar bangunan turut mendapat perhatian. Golongan pekerja gig seperti penghantar makanan adalah antara yang paling berisiko setiap kali indeks pencemaran udara melonjak.

Menurut Arthur, cadangan pemberian bantuan kewangan kepada rakyat terjejas serta penubuhan tabung bencana jerebu kini sedang diperhalusi bersama kementerian dan agensi berkaitan. Usaha penguatkuasaan menerusi saluran dua hala dan ASEAN juga akan terus diperhebat.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng turut mengusulkan agar Malaysia bersama Singapura, Filipina dan Indonesia membentuk satu pasukan petugas khas ASEAN secara tetap bagi mengekang kebakaran hutan dan tanah gambut.

Iklan

Status Dakwaan Penglibatan Syarikat Malaysia

Bercakap mengenai dakwaan kononnya ada syarikat perladangan milik Malaysia yang menjadi punca kebakaran hutan di Indonesia, kementerian menegaskan tiada bukti kukuh ditemui setakat ini.

Siasatan dan penelitian bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi menunjukkan tiada pengesahan rasmi mengaitkan syarikat tempatan dalam aktiviti pembakaran tersebut. Walau bagaimanapun, pendirian kerajaan tetap tegas bahawa mana-mana pihak yang terbukti bersalah mencemarkan alam sekitar wajar berdepan tindakan undang-undang.

Langkah meneliti pampasan ini sekurang-kurangnya memberi isyarat jelas bahawa Malaysia tidak lagi memandang enteng isu jerebu yang saban tahun meragut kualiti hidup rakyat.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan