Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Majlis Jamuan Di Perancis Bertukar Kecoh, Anggota Polis Ditikam Penunjuk Perasaan

Satu majlis jamuan di Biarritz, Perancis bertukar kecoh selepas ratusan penunjuk perasaan bertempur dengan polis hingga mencederakan anggota keselamatan.

Majlis Jamuan Di Perancis Bertukar Kecoh, Anggota Polis Ditikam Penunjuk Perasaan
Gambar: Harian Metro

Suasana tenang di bandar peranginan Biarritz yang terletak di barat daya Perancis tiba-tiba bertukar tegang pada Sabtu lalu. Hajat sebuah syarikat untuk mengadakan majlis jamuan bertukar menjadi medan kekecohan apabila pintu masuk ke lokasi acara dikepung oleh ratusan penunjuk perasaan.

Apa yang pada awalnya sekadar sekatan bantahan akhirnya merebak menjadi insiden pertempuran fizikal. Beberapa anggota keselamatan dilaporkan mengalami kecederaan, termasuk seorang anggota yang kini cedera parah selepas diserang dengan senjata tajam.

Iklan

Punca Bantahan Terhadap Majlis Jamuan

Himpunan besar-besaran ini bukan berlaku secara kebetulan. Sebaliknya, lebih 30 kesatuan sekerja, persatuan dan pelbagai kumpulan masyarakat sebelum ini sepakat membuat seruan bersama bagi membantah majlis anjuran syarikat yang dikenali sebagai Canon Francais.

Kumpulan penunjuk perasaan mendakwa syarikat penganjur berkenaan mempromosikan fahaman berhaluan kanan melampau melalui majlis tersebut. Bagaimanapun, tuduhan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh pihak pengurusan majlis yang menegaskan acara mereka tidak membawa agenda seperti yang didakwa.

Gas Pemediah Mata Terpaksa Dilepaskan

Ketegangan mula meletus apabila ratusan peserta protes bertindak membentuk benteng manusia bagi menghalang tetamu daripada melangkah masuk ke perkarangan acara. Suasana makin panas apabila tetamu jemputan tetap cuba melepasi sekatan yang dibina itu.

Iklan

Pertelingkahan dan tolak-menolak yang semakin liar akhirnya memaksa pihak polis bertindak tegas. Pasukan keselamatan terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan kumpulan yang berdegil sekali gus membuka ruang laluan kepada tetamu.

Anggota Polis Dikejar Ke Hospital

Tindakan mengawal rusuhan itu membawa padah kepada pasukan keselamatan. Wakil kebangsaan daripada kesatuan polis Unite, Mickael Dequin, mengesahkan bahawa beberapa anggota polis cedera ketika menjalankan tugas menyuraikan orang ramai.

Situasi paling mencemaskan berlaku apabila seorang anggota keselamatan diserang menggunakan senjata tajam dan terpaksa dikejarkan segera ke hospital untuk menerima rawatan kecemasan. Susulan insiden berdarah itu, pihak berkuasa tempatan bertindak menahan beberapa penunjuk perasaan di lokasi kejadian.

Iklan

Tetamu Tetap Hadir Walaupun Dihalang

Walaupun keadaan di luar perkarangan dewan diselubungi asap gas pemedih mata dan kekecohan, acara itu tetap diteruskan sehingga selesai.

Pihak penganjur mengesahkan bahawa sekitar 900 tetamu jemputan akhirnya berjaya melepasi kepungan dan tiba di lokasi majlis menjelang waktu tengah hari.

Sumber: Harian Metro

Iklan

Baca juga

Iklan