Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Lukisan Picasso & 3 Karya Seni Skandal 1MDB Bakal Dipamer Untuk Umum

Balai Seni Negara merancang mempamerkan empat karya seni terkenal dunia yang dirampas dalam kes 1MDB, termasuk lukisan asal sentuhan pelukis tersohor Pablo Picasso.

Lukisan Picasso & 3 Karya Seni Skandal 1MDB Bakal Dipamer Untuk Umum
Gambar: ohmymedia.cc

Pernah bayangkan tak satu hari nanti anda berpeluang melihat sendiri lukisan asli karya pelukis legenda dunia seperti Pablo Picasso di hadapan mata? Nampaknya peluang itu mungkin menjadi kenyataan tidak lama lagi di ibu kota.

Empat karya seni bernilai tinggi yang dibawa pulang hasil operasi pemulihan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini dirancang untuk dipamerkan kepada khalayak ramai. Lokasinya bertempat di Balai Seni Negara (BSN), dan sekiranya tiada halangan, pameran khas ini dijangka menemui pengunjung seawal hujung tahun ini.

Iklan

Bukan Calang-Calang Koleksi, Ada Picasso dan Miró

Koleksi seni yang berjaya dibawa pulang ke tanah air ini sememangnya bukan calang-calang. Tumpuan utama pastinya terarah kepada lukisan bertajuk L’Écuyère et les clowns (1961), sebuah karya agung yang dihasilkan oleh pelukis tersohor, Pablo Picasso.

Selain sentuhan Picasso, ada tiga lagi lukisan bersejarah yang turut berada dalam senarai tersebut:

  • Composition (1953) hasil karya Joan Miró
  • Maison de rendez-vous, rue Saint-Rustique, Montmartre (1934) oleh Maurice Utrillo
  • Étude pour femme couchée (1948) oleh Balthus

Keempat-empat karya seni ini sebelum ini dilaporkan disimpan rapi di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya sejak dibawa pulang sekitar April lalu hasil kerjasama penguatkuasaan antarabangsa.

Iklan

Tunggu Pengesahan Hak Milik dan Ketulenan

Walaupun peminat seni tempatan sudah mula teruja, BSN memaklumkan bahawa persiapan kuratorial masih sedang giat disusun dan tarikh rasmi pembukaan pameran belum dimuktamadkan. Ada beberapa prosedur undang-undang serta teknikal yang wajib diselesaikan terlebih dahulu.

Perkara paling penting yang perlu diputuskan adalah berkaitan status pemilikan sebenar serta pengesahan ketulenan setiap karya. Langkah ini kritikal bagi memastikan pasukan konservasi dapat menjalankan pemeriksaan rapi mengikut piawaian pemeliharaan seni antarabangsa.

Urusan berkaitan hak milik ini turut dibincangkan dalam mesyuarat khas pada 21 Oktober lalu. Pertemuan itu melibatkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Kewangan (MOF), SPRM, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) serta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN).

Iklan

Sebahagian Aset Bernilai Berbilion Ringgit

Nilai pasaran bagi kesemua lukisan ini sebelum ini telah pun dinilai oleh dua rumah lelong terkemuka dunia di Amerika Syarikat, iaitu Christie’s dan Sotheby’s. Pihak BSN sendiri turut melaksanakan penilaian tersendiri bagi tujuan dokumentasi rekod pameran.

Menariknya, ini bukanlah keseluruhan karya seni yang terlibat dalam skandal mega terbabit. Masih terdapat enam lagi maha karya yang dahulunya dimiliki saksi kes 1MDB, Jasmine Loo, yang kini berada di bawah kawalan Christie’s di AS dan hanya boleh diserahkan melalui perintah mahkamah di sana.

Setakat rekod rasmi, usaha membawa pulang aset 1MDB telah berjaya memulihkan dana bernilai sekitar RM31.2 bilion, iaitu hampir 70 peratus daripada jumlah keseluruhan aset yang telah dikenal pasti.

Iklan

Peluang mempamerkan koleksi lukisan bertaraf muzium antarabangsa ini pastinya memberi dimensi baharu kepada orang ramai untuk melihat sendiri aset bernilai tinggi yang sebelum ini hanya dibaca melalui laporan mahkamah.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan