Lebih 133 Ribu Saman Pemandu Warga Asing, JPJ Kini Buru Majikan & Pemilik
Sebanyak 133,081 saman dikeluarkan terhadap pemandu warga asing sepanjang lapan bulan pertama tahun ini, membabitkan pelbagai kesalahan jalan raya.

Kalau anda selalu memandu di jalan raya, pasti pernah terserempak dengan warga asing yang selamba mengendalikan pelbagai jenis kenderaan, daripada motosikal sehinggalah lori muatan. Kadang-kadang terlintas juga di fikiran, mereka ini ada lesen memandu yang sah ke tidak?
Rupa-rupanya kerisauan orang ramai itu berasas. Sebanyak 133,081 saman telah dikeluarkan kepada pemandu warga asing hanya bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, iaitu bermula Januari hingga Ogos.
Paling membimbangkan, kesalahan memandu tanpa Lesen Memandu Kompeten (CDL) mencatatkan jumlah yang cukup tinggi iaitu sebanyak 21,232 kes. Bayangkan, puluhan ribu warga asing berani memandu di atas jalan raya kita tanpa sebarang lesen sah.
Bukan Setakat Kereta, Lori Pun Mereka Rembat Bawa
Bukan sahaja memandu kenderaan persendirian tanpa lesen asas, ada juga warga asing yang dikesan berani membawa kenderaan komersial berat. Sepanjang tempoh lapan bulan itu, sebanyak 1,933 kes direkodkan membabitkan kesalahan tiada Lesen Kenderaan Barangan (GDL).
Malah, penguat kuasa turut merekodkan 85 kes pemandu warga asing yang tidak memiliki Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).
Selain masalah lesen, beberapa kesalahan lazim lain yang dikesan termasuklah:
- Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan tamat tempoh.
- Kenderaan bergerak tanpa perlindungan insurans yang sah.
- Tiada permit edaran antarabangsa atau International Circulation Permit (ICP).
- Membawa muatan secara berlebihan yang membahayakan orang lain.
Majikan dan Pemilik Kenderaan Jangan Cuci Tangan
Pendedahan angka ini dijelaskan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat selepas menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad mengenai tindakan terhadap isu berkenaan.
Perkara ini bukan isu kecil. Cuba bayangkan jika berlaku kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan tanpa insurans dan dipandu pula oleh individu tiada lesen. Pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah pasti akan menanggung kerugian besar.
Disebabkan itu, kementerian memberi peringatan keras kepada majikan dan juga pemilik kenderaan tempatan. Jangan sesekali cuci tangan atau memberi sewa kenderaan kepada mereka yang tidak berkelayakan. Tanggungjawab memastikan pemandu memiliki lesen sah terletak di bahu pemilik itu sendiri.
Operasi Bersepadu Bersama Polis dan Imigresen
Bagi membendung masalah ini daripada terus berulang, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini memperhebat operasi pemeriksaan di kawasan panas dan sektor yang berisiko tinggi.
Tindakan penguatkuasaan ini bukan dilakukan sendirian. Operasi bersepadu turut digembleng bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Jika pemandu yang ditahan didapati melanggar syarat imigresen atau tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, tindakan undang-undang serta-merta akan dikenakan terhadap mereka.
Sumber: Harian Metro
Baca juga

Kecoh Isu Serangan Siber, Mat Sabu Tampil Beri Jaminan Stok Makanan Negara Cukup
Ramai bimbang jika serangan siber melumpuhkan komunikasi negara. Menteri Pertanian tampil beri jaminan stok makanan mampu bertahan berbulan-bulan.

Selesai Bayar Denda RM50 Juta, Najib Razak Keluar Penjara Jalani Tahanan Rumah
Najib Razak dilaporkan telah meninggalkan Penjara Kajang petang tadi bagi menjalani baki hukuman secara tahanan rumah selepas menjelaskan denda RM50 juta.

Akui Silap Lalu, LTAT Lancar Pelan SETIA Demi Bersihkan Imej & Jamin Duit Warga ATM
LTAT melancarkan strategi baharu SETIA 2026-2030 dengan 25 inisiatif bagi memperkukuh integriti serta memastikan wang persaraan anggota tentera terus terpelihara tanpa sebarang kompromi.