Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Kerajaan Kaji Semula Kehadiran UNHCR Di Malaysia, Tok Mat Dedah Sebabnya

Gagal hantar pelarian Rohingya ke negara ketiga, kerajaan kini menilai semula keperluan UNHCR beroperasi di Malaysia.

Kerajaan Kaji Semula Kehadiran UNHCR Di Malaysia, Tok Mat Dedah Sebabnya
Gambar: ohmymedia.cc

Isu lambakan pelarian, terutamanya membabitkan etnik Rohingya, bukanlah cerita baharu di Malaysia. Namun kali ini, kerajaan nampaknya bersedia mengambil langkah lebih tegas apabila mula mengkaji semula kewajaran operasi Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara kita.

UNHCR Gagal Main Peranan Seperti Dulu

Langkah itu disuarakan sendiri oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika sesi penggulungan perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini. Menurut beliau, kehadiran agensi antarabangsa berkenaan perlu dinilai kembali berikutan kegagalan mereka menempatkan semula golongan pelarian ke negara ketiga.

Iklan

Beliau membandingkan situasi sekarang dengan rekod lama UNHCR semasa mengendalikan isu pelarian Vietnam antara tahun 1978 hingga 1990. Pada masa itu, agensi berkenaan bertindak pantas dan proaktif, sangat berbeza dengan apa yang disaksikan hari ini.

Malah, Tok Mat mendedahkan angka yang cukup mengejutkan. Dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, jumlah pelarian yang berjaya dihantar ke negara ketiga hanyalah sekitar 5,000 orang lebih sahaja. Yang menjadi persoalan, jumlah yang sedikit itu pun bukan terdiri daripada pelarian Rohingya, sebaliknya membabitkan etnik lain dari Myanmar.

Pintu Negara Ketiga Semakin Rapat

Mengapa proses penempatan ini begitu perlahan? Menjawab persoalan itu, Tok Mat menjelaskan bahawa dasar dunia masa kini sudah banyak berubah dan menjadi semakin mencabar.

Iklan

Beberapa destinasi utama sebelum ini seperti Australia, Jerman dan Amerika Syarikat kini telah memperketat syarat kemasukan migran mereka. Dengan adanya undang-undang anti-migran yang ketat di negara-negara terbabit, peluang pelarian untuk dipindahkan ke sana menjadi semakin tipis.

Kesan daripada pengetatan polisi antarabangsa itu akhirnya terpaksa ditanggung oleh Malaysia sendiri. Kebanyakan pelarian yang memegang kad UNHCR ini kekal berada di sini tanpa kepastian masa depan, sekali gus meletakkan beban jangka panjang kepada negara.

Perlu Bersemuka Sendiri Dengan Myanmar

Menyedari beban yang terpaksa dipikul, Tok Mat menegaskan Malaysia tidak boleh lagi hanya menunggu tindakan daripada pihak luar. Kerajaan melihat rundingan terus dan sesi libat urus bersama pihak berkuasa Myanmar perlu digerakkan segera.

Iklan

Walaupun Myanmar mungkin lebih gemar dipulaukan dan tidak berurusan dengan dunia luar selagi ada sokongan sekutu mereka, Malaysia tetap perlu mencari jalan keluar diplomatik. Jika tiada perbincangan dibuat, isu pelarian yang sudah berlarutan bertahun-tahun ini dikhuatiri tidak akan pernah ada titik noktahnya.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan