Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Jangan Kait Isu Individu Dengan Kaum & Agama, Rakyat Diseru Fikir Adil

Timbalan Menteri Perpaduan seru orang ramai henti kaitkan isu individu dengan sentimen kaum dan agama serta nilai sesuatu perkara ikut fakta sebenar.

Jangan Kait Isu Individu Dengan Kaum & Agama, Rakyat Diseru Fikir Adil
Gambar: ohmymedia.cc

Pernah tak anda perasan di media sosial, bila timbul saja sesuatu pergaduhan atau perselisihan faham antara dua individu, ruangan komen terus bertukar panas dengan sentimen perkauman? Sikap cepat melatah dan suka pukul rata inilah yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat kita jika dibiarkan berlarutan tanpa kawalan.

Perkara ini mendapat perhatian serius daripada Timbalan Menteri Perpaduan, Yuneswaran Ramaraj. Beliau menyeru rakyat Malaysia supaya lebih matang dan menilai sesuatu isu secara adil berlandaskan fakta sebenar, bukannya terus menunggang sentimen kaum atau agama.

Iklan

Bukan Semua Perkara Berkait Dengan 3R

Bercakap pada majlis minum petang bersama pengamal media di Kuala Lumpur baru-baru ini, beliau menegaskan bahawa kesilapan peribadi tidak wajar sama sekali diheret menjadi masalah perkauman. Orang ramai sebaliknya dinasihatkan untuk bertenang dan memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan mengikut lunas undang-undang.

Menurut beliau yang sudah hampir 11 bulan berkhidmat di kementerian berkenaan, ramai pihak sebenarnya masih tersalah tafsir mengenai isu perpaduan di negara kita. Sering kali apa saja insiden yang berlaku di luar sana dianggap ada kaitan dengan elemen 3R, sedangkan hakikatnya tidak sebegitu.

Jurang Ekonomi Dan Masalah Sosial Punca Sebenar

Jelas Yuneswaran, kebanyakan ketegangan yang tercetus sebenarnya berakar umbi daripada dasar kerajaan, isu jurang ekonomi antara kaum mahupun sesama kaum, serta masalah sosial harian. Selain itu, ada juga kes yang sekadar perbuatan jenayah biasa.

Iklan

Namun, masalah mula timbul apabila sesuatu salah laku sivil atau jenayah itu terus dikaitkan dengan latar belakang kaum atau agama pelakunya. Tindakan melabel sedemikian akhirnya mengubah perkara yang sepatutnya diselesaikan melalui undang-undang menjadi perbalahan antara kaum yang merugikan semua pihak.

Peranan Media Dan Memupuk Harmoni Dari Awal

Sehubungan itu, beliau berharap rakan media dapat terus memainkan peranan penting dalam menyalurkan laporan yang tepat dan seimbang. Pelaporan yang berhemah amat diperlukan bagi mengelakkan salah faham yang boleh mengeruhkan hubungan masyarakat majmuk di negara ini.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sendiri giat menyemai benih keharmonian sejak usia muda menerusi Tabika Perpaduan dan penubuhan Kelab Rukun Negara di institusi awam serta swasta. Inisiatif berterusan seperti kempen Bersama Membina Negara Bangsa Kita dan Minggu Perpaduan turut diperkasa untuk merapatkan silaturahim rakyat pelbagai latar belakang.

Iklan

Keunikan sambutan perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas sepatutnya dijadikan medan untuk kita saling memahami dan menghormati perbezaan budaya. Beliau turut menyatakan keterbukaan pihak kementerian untuk menerima cadangan dan pandangan membina daripada orang ramai demi memastikan perpaduan negara kekal utuh.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan