Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Isu Pusat Data: Malaysia Minta AS Perjelas Sekatan Baharu Terhadap Entiti China

Malaysia sedang berhubung dengan pihak AS untuk memperincikan sekatan baharu terhadap penyediaan perkhidmatan pusat data tempatan kepada syarikat China.

Isu Pusat Data: Malaysia Minta AS Perjelas Sekatan Baharu Terhadap Entiti China
Gambar: ohmymedia.cc

Sejak kebelakangan ini, Malaysia memang rancak menerima pelaburan berbilion ringgit dalam sektor pusat data. Ramai gergasi teknologi dunia mula memilih negara kita untuk membina fasiliti mereka. Namun, ada satu perkembangan terkini dari Washington yang membuatkan pemain industri tempatan terpaksa pasang telinga.

Kerajaan Malaysia kini sedang berhubung rapat dengan Amerika Syarikat (AS) bagi mendapatkan penjelasan terperinci mengenai peraturan baharu yang menyekat penyediaan perkhidmatan pusat data kepada syarikat atau entiti dari China.

Iklan

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan bahawa komunikasi ini penting untuk memahami bagaimana mekanisme pemantauan sekatan berkenaan akan dijalankan di peringkat tempatan.

Kekeliruan Antara Jual Cip Dan Tawar Servis Awan

Menurut Johari, ada perbezaan besar yang perlu diperincikan oleh pihak AS. Beliau melihat isu ini melibatkan dua perkara berbeza iaitu penjualan semula perkakasan unit pemprosesan grafik (GPU) ke negara ketiga, dan satu lagi adalah penyediaan khidmat pengkomputeran menerusi pusat data.

Kalau mengikut cara kerja sebelum ini, mana-mana syarikat yang membawa masuk cip GPU canggih perlu mengeksport semula peralatan fizikal tersebut. Tetapi situasinya berbeza hari ini apabila pengendali di Malaysia hanya menawarkan perkhidmatan pengkomputeran awan menggunakan fasiliti sedia ada.

Iklan

Disebabkan peraturan baharu AS turut mengkategorikan penyediaan servis pusat data sebagai aktiviti yang tertakluk kepada sekatan, Malaysia mahu tahu dengan jelas bagaimana perkara ini akan dipantau secara adil.

Latar Belakang Sekatan Baharu Dari AS

Langkah sekatan ini bukan datang tiba-tiba. Biro Industri dan Keselamatan AS (BIS) sebelum ini mengeluarkan Peraturan Akhir Sementara pada 16 November lalu. Peraturan tersebut digubal bagi menghalang pihak asing tertentu daripada memanfaatkan kuasa pengkomputeran termaju berasaskan cip AS demi menjaga keselamatan negara mereka.

Sekatan ketat ini bukan sahaja melibatkan pemindahan cip fizikal, malah ia melarang pusat data di luar negara daripada menawarkan kapasiti pengkomputeran jarak jauh kepada mana-mana syarikat yang berpangkalan di Macau atau negara yang tertakluk kepada embargo senjata AS.

Iklan

Selain itu, peraturan terbabit turut memberi tekanan kepada pengeluar semikonduktor, pengeksport cip dan pengendali pusat data untuk menjalankan proses semakan teliti atau due diligence terhadap latar belakang setiap pelanggan mereka.

Tunggu Pengesahan Rasmi Demi Keselamatan Industri

Mengulas lanjut perkara itu ketika menghadiri mesyuarat bersama pemain industri di Shenzhen, Johari menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh bergerak hanya berpandukan spekulasi atau khabar angin semata-mata.

Setakat ini, kementerian belum menerima sebarang pemakluman rasmi secara terus daripada kerajaan AS selain laporan yang berlegar di ruang media massa antarabangsa.

Iklan

Tanpa garis panduan yang terang, pemain industri di Malaysia bimbang operasi perniagaan mereka boleh terjejas. Langkah kerajaan mendapatkan kepastian hitam putih ini diharap dapat memberi kepastian undang-undang kepada pelabur dan pengendali pusat data tempatan agar urusan perniagaan kekal mematuhi piawaian antarabangsa tanpa sebarang risiko sekatan.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan