Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Isu Premium Tanah KLSCAH RM1,000, Hannah Yeoh Tampil Perjelas Sebab Sebenar

Hannah Yeoh menjelaskan sebab KLSCAH dikenakan premium tanah RM1,000 selepas timbul dakwaan layanan istimewa, sekali gus menepis isu perkauman.

Isu Premium Tanah KLSCAH RM1,000, Hannah Yeoh Tampil Perjelas Sebab Sebenar
Gambar: ohmymedia.cc

Isu bayaran premium tanah sebanyak RM1,000 kepada Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) hangat diperkatakan di media sosial. Ada pihak yang mula membuat pelbagai andaian, malah segelintir pemimpin politik mendakwa kerajaan kononnya memberi layanan 'anak emas' serta sengaja melepaskan hasil bernilai jutaan ringgit.

Melihat perkara itu semakin diputar belit dengan sentimen kaum dan agama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh akhirnya tampil membuka cerita sebenar di sebalik ketetapan tersebut.

Iklan

Hilang Potensi Komersial Bernilai Tinggi

Menurut Hannah, penetapan kadar RM1,000 itu dibuat bersebab dan bukan satu keistimewaan suka-suka. Bangunan KLSCAH kini sudah mencecah usia 103 tahun dan telah pun diwartakan secara rasmi sebagai tapak warisan sejak tahun 2007 lagi.

Apabila pihak pengurusan bersetuju menukar status tanah kepada kategori institusi, tapak berkenaan secara automatiknya tidak lagi boleh dibangunkan untuk projek komersial menguntungkan. Tiada lagi peluang untuk bina kondominium mewah atau pusat beli-belah di kawasan strategik tersebut.

Selain itu, KLSCAH sebenarnya menanggung defisit operasi sekitar RM400,000 setiap tahun. Kos ini terpaksa ditanggung berikutan usia bangunan yang uzur, memerlukan kos baik pulih yang tinggi, serta perlu menaik taraf aspek keselamatan dan fasiliti teknikal secara berterusan.

Iklan

Tepis Dakwaan Rugikan Hasil Kerajaan

Hannah turut membidas dakwaan pihak lawan kononnya kerajaan kerugian hasil sehingga RM4 juta. Beliau menegaskan orang ramai tidak patut terkeliru dengan pelbagai jenis bayaran dan cukai yang berbeza.

Bagi beliau, premium tanah sama sekali tidak serupa dengan cukai tanah biasa, cukai taksiran, cukai pendapatan ataupun kadar sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR). Mengaitkan semua perkara ini dalam satu bakul hanya menunjukkan kedangkalan pihak tertentu yang cuba memanaskan keadaan.

Dalam hantaran yang sama, beliau sempat mengingatkan rekod pentadbiran terdahulu yang pernah meluluskan penjualan padang awam serta kawasan kolam takungan banjir di ibu negara demi kepentingan pembangunan.

Iklan

Inisiatif DBKL Merangkumi Semua Golongan

Bercakap mengenai layanan adil, Hannah menolak persepsi bahawa kerajaan hanya memandang satu pihak sahaja. Hakikatnya, pelbagai kemudahan dinikmati oleh warga kota daripada pelbagai latar belakang.

Contohnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menawarkan diskaun sewa sebanyak 50 peratus kepada 10,000 peniaga selama dua tahun. Bukan itu sahaja, kadar sewa tapak bazar Ramadan di ibu negara turut dikawal rapi pada paras RM400 bagi satu lot sepanjang sebulan beroperasi.

Beliau juga menarik perhatian kepada komitmen Perdana Menteri dalam menyelamatkan khazanah negara lain seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara yang menelan belanja ratusan juta ringgit. Bagi Hannah, memelihara warisan sejarah memerlukan pandangan jangka panjang, bukan dijadikan modal politik sempit.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan