Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Hadap Sesak Setiap Hari, JKR Sahkan Naik Taraf Jalan Bukit Cherakah Siap 2027

Pengguna Jalan Bukit Cherakah perlu bersabar sedikit masa lagi apabila kerja naik taraf jalan berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2027.

Hadap Sesak Setiap Hari, JKR Sahkan Naik Taraf Jalan Bukit Cherakah Siap 2027
Gambar: Harian Metro

Bagi sesiapa yang hari-hari berulang-alik melalui Jalan Bukit Cherakah (FT1210) di Shah Alam, isu kesesakan lalu lintas di laluan ini memang bukan rahsia lagi. Boleh kata mental kena kental, terutamanya bila tiba waktu puncak sebelah pagi dan petang.

Terbaharu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor tampil memberi penjelasan mengenai situasi di laluan berkenaan. Menurut pihak berkuasa itu, kerja-kerja menaik taraf laluan tersebut dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2027 nanti.

Iklan

Punca Kelewatan Dan Status Semasa Projek

Ramai yang tertanya-tanya kenapa laluan ini mengambil masa yang lama untuk disiapkan. JKR Selangor memaklumkan bahawa kelewatan kerja naik taraf yang membabitkan pemaju Kemudi Ehsan Sdn Bhd (LBS) berpunca daripada isu pengalihan utiliti di tapak projek.

Bagaimanapun, urusan pengalihan utiliti seperti paip dan kabel bawah tanah itu sudah pun diselesaikan sepenuhnya pada 15 September lalu. Dengan selesainya fasa tersebut, baki kerja pembinaan fizikal kini dapat diteruskan semula.

Perkembangan kerja mengikut kawasan pemaju adalah seperti berikut:

Iklan
  • EcoWorld: Kerja naik taraf jalan di bawah pemaju ini sudah siap dilaksanakan sepenuhnya.
  • OBI / Worldwide: Selesai secara fizikal dan kini sedang melalui peringkat pengujian lampu jalan serta lampu isyarat.
  • LBS: Baki kerja pembinaan masih berjalan dan inilah bahagian yang menjadi punca utama aliran trafik perlahan ketika ini.

Dinaik Taraf Jadi Tiga Lorong

Untuk rekod, projek ini melibatkan pelebaran Jalan Bukit Cherakah daripada jalan satu lorong dua hala kepada tiga lorong dua hala. Pelebaran jalan ini merupakan syarat yang telah ditetapkan kepada pihak pemaju susulan pembangunan pesat kawasan perumahan, komersial, serta industri di kawasan sekitarnya.

Pihak pemaju juga bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyelenggara laluan tersebut supaya sentiasa berada dalam keadaan elok dan selamat digunakan orang ramai sehinggalah projek siap dan diserahkan kembali kepada JKR.

Bukan itu sahaja, sebuah jambatan sedia ada yang merentasi Sungai Buloh turut dirancang untuk dinaik taraf kepada empat lorong bagi mengelakkan masalah laluan sempit atau 'bottleneck'.

Iklan

Isu Banjir Di Persimpangan Selesai Disember Ini

Selain masalah trafik, pengguna jalan raya juga sering diuji dengan isu banjir di persimpangan Jalan FT1210 dan Jalan FT54. Masalah ini berlaku kerana kedudukan tanahnya yang paling rendah berbanding kawasan sekitar, ditambah pula dengan limpahan air dari Sungai Buloh ketika hujan lebat.

Bagi mengatasi masalah itu, pihak pemaju kini sedang giat meninggikan aras jalan di persimpangan terbabit dan kerja-kerja berkenaan dijangka siap menjelang Disember depan.

Buat semua pemandu yang menggunakan laluan ini setiap hari, rancang perjalanan anda sebaiknya dan teruskan memandu secara berhemah sementara menunggu projek ini siap sepenuhnya.

Sumber: Harian Metro

Iklan

Baca juga

Iklan