Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Dakwa Persenda Kuasa Agong, UMNO Desak Tindakan Tegas Terhadap Tony Pua

UMNO menggesa pihak berkuasa menyiasat Tony Pua susulan hantaran media sosial yang didakwa mempersendakan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Dakwa Persenda Kuasa Agong, UMNO Desak Tindakan Tegas Terhadap Tony Pua
Gambar: ohmymedia.cc

Suhu politik tanah air kembali hangat susulan keputusan pengurangan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Kali ini, tumpuan terarah pula kepada bekas Ahli Parlimen Damansara dari DAP, Tony Pua.

Semuanya bermula apabila Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tampil meluahkan rasa tidak puas hati secara terbuka menerusi media sosial miliknya. Beliau mendesak agar tindakan undang-undang segera diambil terhadap Tony Pua.

Iklan

Dakwa Mempersenda Institusi Diraja

Menurut Asyraf, hantaran yang dimuat naik oleh pemimpin DAP itu di Facebook bukan sekadar menyindir biasa. Beliau mendakwa ia secara jelas mempersendakan institusi diraja dan mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam Lembaga Pengampunan.

Tindakan tersebut disifatkan agak melampau kerana ia seolah-olah membuka ruang dan medan kepada pengguna media sosial lain untuk turut sama melemparkan komen biadab serta menghina kedudukan seorang Raja Berdaulat.

Beri Peringatan Kepada Pihak Berkuasa

Asyraf secara tegas turut mempersoalkan peranan agensi penguatkuasaan negara dalam menangani perkara sebegini. Beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), serta Jabatan Peguam Negara agar tidak berdiam diri.

Iklan

Sekiranya tiada tindakan konkrit diambil, beliau bimbang masyarakat umum akan membuat andaian bahawa pihak pentadbiran Perdana Menteri gentar untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin daripada parti DAP.

Bukan Kali Pertama Timbul Kontroversi

Menambah kekecewaan pihak UMNO, Asyraf turut mengingatkan bahawa ini bukanlah insiden pertama membabitkan figura politik berkenaan menyentuh institusi diraja. Sebelum ini, Tony Pua juga pernah didakwa mempersoalkan titah Sultan Selangor yang menyentuh soal penghayatan Rukun Negara.

Sikap berulang seperti itu disifatkan sebagai sesuatu yang tidak wajar dibiarkan tanpa tindakan undang-undang yang setimpal.

Iklan

Beliau memberi amaran bahawa kelambatan agensi bertanggungjawab bertindak boleh mencetuskan ketegangan kaum yang tidak diingini. Jika dibiarkan berlarutan, kebimbangan terbesar adalah ia bakal membangkitkan kemarahan orang Melayu sehingga mampu mencetuskan keadaan luar kawalan.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan