Comel Tapi Bahaya! Ribuan Mainan 'Squishy' Disita KPDN, Ibu Bapa Wajib Semak Tanda Ini
KPDN sita lebih 5,000 mainan squishy tanpa tanda keselamatan MC bernilai lebih RM70,000. Ibu bapa diingatkan waspada risiko bahan kimia dan tercekik.

Pantang nampak di kedai, anak-anak mesti terus capai mainan span lembut atau lebih dikenali sebagai squishy. Bentuknya comel, warnanya menarik dan rasa kenyal bila dipicit memang buat si kecil seronok memainkannya.
Namun, di sebalik rupanya yang nampak langsung tidak berbahaya, tersimpan risiko keselamatan yang mungkin ramai ibu bapa terlepas pandang.
Operasi Khas Sita Ribuan Mainan Squishy
Isu ini mendapat perhatian serius pihak berkuasa apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertindak menyita sebanyak 5,801 unit mainan squishy di seluruh negara, membabitkan nilai rampasan mencecah RM70,428.70.
Tindakan tegas itu dibuat susulan Pemeriksaan Khas Mainan Span Lembut (Squishy) yang dijalankan dari 1 hingga 14 Oktober lalu. Sepanjang tempoh dua minggu tersebut, penguat kuasa memeriksa sebanyak 1,845 premis merangkumi pihak pengilang, pengimport, pemborong sehinggalah peruncit.
Hasil pemeriksaan membawa kepada 15 kes tindakan penguatkuasaan atas kesalahan produk yang gagal mempamerkan Tanda Pematuhan Standard Keselamatan (MC).
Kenapa Mainan Picit Ini Boleh Membahayakan Anak?
Mungkin ada yang rasa pelik, span lembut macam ini pun boleh jadi berbahaya ke? Sebenarnya, mainan yang tidak melalui piawaian keselamatan dikhuatiri mendedahkan kanak-kanak kepada bahan kimia terlarang, risiko tercekik jika koyak, serta kecederaan akibat cecair isian di dalamnya.

Kebimbangan ini berasas apabila pihak berkuasa di United Kingdom sebelum ini pernah menarik balik produk mainan Squeezy Dumplings selepas mengesan kandungan bahan kimia benzena yang melebihi paras dibenarkan.
Bukan itu sahaja, Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat (CPSC) turut mengeluarkan amaran mengenai squishy tiruan yang sangat mudah pecah dan mendedahkan anak-anak kepada cecair isian yang tidak diketahui tahap keselamatannya.
Peringatan KPDN Buat Ibu Bapa Dan Peniaga
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam menjelaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang mengabaikan peraturan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599). Operasi pemantauan akan diteruskan bagi memastikan barang jualan di pasaran benar-benar selamat untuk pengguna kecil.
Beliau turut menitipkan pesan penting buat mak ayah di luar sana supaya sentiasa membelek bungkusan sebelum membayar. Pastikan ada logo tanda pematuhan MC yang sah sebelum menyerahkannya kepada anak.
Sekiranya orang ramai ternampak atau mengesyaki ada penjualan mainan yang meragukan, saluran aduan boleh dibuat terus kepada KPDN menerusi:
- Aplikasi WhatsApp di 019-848 8000 atau 019-279 4317
- Portal rasmi e-Aduan KPDN
- Talian bebas tol 1-800-886-800
- Aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN
Sumber: rotikaya
Baca juga

“Mama Minta Maaf, Baliklah Adik” - Ibu Di Melaka Buntu Anak Bongsu Masih Hilang
Hati ibu mana yang tidak luluh bila anak hilang tanpa khabar berita. Noorlaili merayu anak bongsunya, Maisarah segera pulang ke pangkuan keluarga.

Didakwa Palsukan 10 Sijil Sakit, Jururawat Mengaku Tidak Bersalah Di Mahkamah
Seorang jururawat berusia 55 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Pekan atas tuduhan memalsukan 10 sijil sakit klinik komuniti.

Isu Batal Projek Sabah & Sarawak: Bukan Negeri Kelas Kedua, Jangan Diskriminasi
Pesuruhjaya PAS Sabah membidas pembatalan projek di Sabah dan Sarawak tanpa alasan kukuh serta menegaskan hak rakyat Borneo tidak wajar dinafikan.