Bukan Setakat Pegang Senjata, Rupanya ATM Galas Tugas Berat Ini Waktu COVID-19
Ramai sangka hanya petugas KKM di sebalik sut PPE, rupa-rupanya ribuan anggota tentera turut turun padang menguruskan ribuan jenazah dan tangki oksigen.

Bila teringat kembali detik cemas pandemik COVID-19 melanda negara beberapa tahun lalu, bayangan pertama yang muncul di fikiran kita sudah tentulah kelibat doktor dan jururawat yang bertungkus-lumus di hospital. Namun, di sebalik sut perlindungan diri (PPE) yang serba putih itu, sebenarnya ada satu lagi pasukan penting yang memerah keringat tanpa ramai sedar.
Pasukan itu tidak lain dan tidak bukan adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Menerusi inisiatif Greater Klang Valley Task Force, kolaborasi yang dikenali sebagai Kerjasama Awam Tentera (CIMIC) ini membuktikan bahawa tugas anggota keselamatan kita jauh melangkaui kawalan sempadan atau medan pertempuran.

Bantu Petugas Kesihatan Yang Terlalu Penat
Menurut Pengarah di Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS), Lt Kol Ts Dr Maimunah Omar, penglibatan tentera digerakkan apabila sistem kesihatan negara mula berada dalam fasa kritikal. Barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) waktu itu berdepan keletihan melampau akibat beban tugas yang tidak putus-putus.
Keadaan bertambah mencabar kerana masa sangat mencengkam. Jika terlalu lama berfikir dan bermesyuarat, angka korban boleh melonjak naik. Kehadiran ATM dengan kekuatan logistik lebih 1,000 anggota, merangkumi Tentera Darat, Laut dan Udara, menjadi penyelamat keadaan untuk menyelesaikan isu pengurusan dengan pantas.
Urus 14,258 Tangki Oksigen dan 4,442 Jenazah
Di Pusat Kuarantin MAEPS Serdang, anggota tentera mengambil alih tugasan bukan klinikal. Langkah bijak ini membolehkan para doktor dan jururawat memberi tumpuan penuh kepada pesakit COVID-19 tahap empat dan lima.

Bukan tugas mudah yang mereka galas. Sebanyak 750 anggota tentera ditempatkan khas di bawah Pasukan Pembawa Oksigen (OSCAR) bagi menguruskan 14,258 tangki oksigen untuk pesakit yang memerlukan. Selain itu, Pasukan Bekalan Semula Pantas (RRT) memastikan bekalan ubat sentiasa mencukupi di wad.
Paling menyentuh hati, tentera turut menggalas tanggungjawab akhir buat pesakit yang tewas dalam perjuangan melawan wabak ini. Menerusi Pasukan Pengurusan Jenazah (BMT), mereka telah menyempurnakan sebanyak 4,442 jenazah pesakit COVID-19 untuk dibawa ke lokasi yang ditetapkan.

Bas RapidKL Diubah Suai, Parkir Kereta Jadi Wad
Kejayaan meredakan lonjakan kes dalam tempoh 41 hari ketika itu bukan hanya hasil kerja ATM dan KKM. Ramai pihak lain turut berganding bahu di sebalik tabir tanpa henti:
- Pengangkutan: Bas RapidKL diubah suai dengan landasan khas bagi membawa pesakit yang lemah ke hospital, dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta St John Ambulans.
- Kemudahan Hospital: Kawasan parkir Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju ditukar menjadi wad rawatan sementara pesakit kategori satu hingga tiga kerana reka bentuk asalnya memang dilengkapi kemudahan bekalan oksigen untuk kecemasan.
- Sokongan Swasta & NGO: Hospital swasta mengambil alih pesakit bukan COVID-19, manakala syarikat telekomunikasi seperti Telekom dan TIME dotCom membantu pemantauan pesakit di rumah. Pertubuhan seperti MERCY Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia turut menyediakan fasiliti hospital medan.
Pertahanan Bukan Sekadar Senjata
Dr Maimunah menegaskan, prinsip Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) menunjukkan keselamatan negara sebenarnya adalah tanggungjawab bersama. Tentera bukan sahaja ada ketika krisis atau perang, malah sentiasa bersiap siaga dalam apa jua bencana demi kesejahteraan rakyat.
Sumber: ohmymedia.cc
Baca juga

Rusuhan Hangat Di Perancis: 242 Pelajar Tajaan MARA Disahkan Selamat
Ibu bapa boleh tarik nafas lega apabila MARA mengesahkan seramai 242 penuntut tajaannya di Perancis selamat dan tidak terbabit dengan insiden rusuhan.

Tak Perlu Redah Laut Membabi Buta, Aplikasi AI 'Afli' Bantu Nelayan Cari Lubuk Ikan
Aplikasi AI Afli bantu nelayan kecil jejak tumpuan ikan dan jimatkan minyak bot, siap boleh diguna secara luar talian di tengah lautan.

Diarah Bayar RM300k Kepada Teresa Kok, Dr Akmal Tegas Tak Akan Berundur
Mahkamah Tinggi arah Dr Akmal Saleh bayar ganti rugi RM300,000 kepada Teresa Kok berhubung saman fitnah, namun Ketua Pemuda UMNO ini tegaskan beliau tidak akan berundur.