Siakap KeliLive · Auto-update
Hiburan

Bukan Senang Jumpa, Mawi Sembang 5 Jam Sebelum Syamsul Yusof Setuju Masuk Konsert

Mawi berkongsi detik di sebalik kemunculan Syamsul Yusof di konsertnya baru-baru ini, termasuk kisah persahabatan saat dirinya dirawat di hospital.

Bukan Senang Jumpa, Mawi Sembang 5 Jam Sebelum Syamsul Yusof Setuju Masuk Konsert
Gambar: gempak

Kehadiran pengarah dan pelakon terkenal, Syamsul Yusof di konsert The Journey Of 'Mawi World' baru-baru ini nyata mencuri perhatian ramai. Maklumlah, Syamsul sekarang memang agak jarang muncul di khalayak ramai mahupun di majlis hiburan terbuka.

Rupa-rupanya di sebalik kemunculan istimewa itu, ada cerita menarik yang dikongsikan oleh Mawi sendiri. Juara Akademi Fantasia musim ketiga itu mengakui bukan mudah untuk bertemu dengan sahabat lamanya itu, apatah lagi mengajaknya beraksi di atas satu pentas.

Iklan

Berbual Dari Tengah Malam Sampai Ke Subuh

Mawi mendedahkan dia meluangkan masa hampir lima jam berborak panjang dengan Syamsul sebelum mengutarakan pelawaan tersebut. Pertemuan mereka bermula sekitar jam 12 tengah malam dan berlarutan sehingga jam 5 pagi kerana sudah terlalu lama tidak bersua muka.

Menariknya, topik mengenai konsert itu langsung tidak disentuh pada awal perbualan. Mawi hanya mula membuka mulut mengenai jemputan berkenaan pada minit-minit akhir sebelum mereka bersurai, kira-kira jam 4.45 pagi.

Mendengar pelawaan rakan baiknya itu, Syamsul tanpa berlengah terus menyatakan persetujuan. Bagi Mawi, kesudian Syamsul bersama sokongan kehadiran ibu dan keluarganya pada malam konsert 8 November lalu amat bermakna buat dirinya.

Iklan

Pernah Rukyah Mawi Ketika Terlantar Sakit

Bercerita lanjut mengenai keakraban mereka, Mawi mengimbau kembali kenangan lama yang tidak mungkin dia lupakan sampai bila-bila. Ketika dirinya terlantar sakit di hospital suatu masa dahulu, Syamsul hadir melawat dan membantunya mendapatkan rawatan secara Islam.

Menurut Mawi, Syamsul membacakan doa dan rukyah sambil memegang dahinya, persis apa yang sering dilihat peminat menerusi watak Ustaz Adam dalam filem pecah panggung, Munafik.

Momen penuh keikhlasan itu membuatkan Mawi menitiskan air mata kerana begitu tersentuh dengan keprihatinan seorang sahabat. Sejak peristiwa tersebut, rasa hormatnya terhadap peribadi Syamsul semakin menebal.

Iklan

Pentas Penuh Kenangan Manis

Konsert The Journey Of 'Mawi World' bukan sekadar pentas hiburan, tetapi menjadi ruang penyatuan semula rakan-rakan yang pernah mewarnai perjalanan seni Mawi sepanjang bergelar penyanyi.

Selain Syamsul yang menyumbangkan suara menerusi lagu duet mereka, konsert itu turut dimeriahkan oleh Datuk AC Mizal, Felix, Daly Filsuf dan Datuk Aznil Haji Nawawi. Kemunculan nama-nama besar ini membuktikan hubungan persahabatan dalam industri seni masih utuh walaupun masing-masing kini membawa haluan sendiri.

Sumber: gempak

Iklan

Baca juga

Iklan