Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Bersara Awal Bukan Penghalang, 781 Veteran ATM Raih Gaji Hingga RM5,000

Ratusan pesara tentera kini membina fasa baharu dengan tawaran gaji lumayan mencecah RM5,000 sebulan menerusi inisiatif kerjaya kedua oleh PERHEBAT.

Bersara Awal Bukan Penghalang, 781 Veteran ATM Raih Gaji Hingga RM5,000
Gambar: ohmymedia.cc

Bila sebut fasal anggota tentera yang tamat perkhidmatan, ramai yang membayangkan mereka akan terus berehat atau sekadar mengisi masa lapang di kampung. Hakikatnya, kebanyakan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menamatkan perkhidmatan sekitar usia 40-an, waktu di mana tenaga dan kemahiran mereka masih di tahap terbaik.

Membuktikan keupayaan mereka masih ditagih pasaran, seramai 781 veteran ATM berjaya menempatkan diri dalam pelbagai sektor industri menerusi inisiatif Kerjaya Kedua Perwira kelolaan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT). Lebih menarik, purata pendapatan yang ditawarkan bukan calang-calang, iaitu antara RM2,970 sehingga RM5,000 sebulan.

Iklan

Langkah Bijak Rebut Peluang Industri Bernilai Tinggi

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa pencapaian ini membuktikan pengalaman luas warga tentera sentiasa mempunyai nilai tambah tersendiri. Berdasarkan Pelan Transformasi PERHEBAT, seramai 1,409 bakal pesara dan veteran telah menerima manfaat program ini setakat September lalu.

Daripada jumlah tersebut, selain 781 veteran yang sudah mula bekerja dalam sektor berimpak tinggi seperti aeroangkasa, automotif, logistik dan perkhidmatan, ada 628 bakal pesara lagi sedang menjalani latihan industri bagi membiasakan diri dengan alam pekerjaan awam.

Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan, Datin Roszanina Wahab bersempena Majlis Konvokesyen PERHEBAT Ke-71 baru-baru ini.

Iklan

Kemahiran Diiktiraf Sijil Rasmi

Bagi memastikan pengalaman bertahun-tahun di dalam kem tentera tidak dipandang sepi oleh majikan swasta, Kementerian Pertahanan bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Manusia. Melalui langkah ini, segala latihan, kursus dan kepakaran taktikal anggota akan dinilai secara rasmi untuk melayakkan mereka menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) atau Diploma Kemahiran Malaysia (DKM).

Setakat ini, PERHEBAT sudah pun menjalinkan kolaborasi bersama 513 agensi dan syarikat swasta untuk memadankan kepakaran pesara dengan kekosongan jawatan yang ada di pasaran semasa.

Peluang Unik Bersama Projek ECRL

Bukan sekadar bidang teknikal biasa, seramai 10 peserta Program Latihan Kemahiran Industri Projek Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL) melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menamatkan pengajian selama setahun di Liuzhou Railway Vocational Technical College, China.

Iklan

Mereka bakal menjadi kumpulan perintis dalam kalangan veteran ATM yang menyumbang kepakaran secara langsung kepada operasi projek mega rel negara itu kelak. Di samping itu, lapan program latihan anjuran PERHEBAT turut menerima Pensijilan Pembangunan Profesional (PDC) daripada Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

Justeru, anggota tentera yang bakal menamatkan perkhidmatan diseru agar tidak membiarkan kemahiran yang ada berlalu begitu sahaja. Gunakan ruang dan fasa peralihan ini sebaiknya untuk terus melangkah gagah dalam kerjaya kedua.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan