Siakap KeliLive · Auto-update
Hiburan

Berat Susut & Kerap Puasa, Isteri Kongsi Keadaan Ismahalil Hamzah Dalam Penjara

Isteri Ismahalil Hamzah berkongsi perkembangan terkini suaminya di Penjara Kajang dan persediaan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Berat Susut & Kerap Puasa, Isteri Kongsi Keadaan Ismahalil Hamzah Dalam Penjara
Gambar: Harian Metro

Bagi yang mengikuti perkembangan dunia penyiaran radio tempatan, nama pengasas Bapakku FM, Ismahalil Hamzah, pastinya cukup dekat di hati ramai. Selepas beberapa bulan menjalani hukuman di sebalik tirai besi, isterinya baru-baru ini tampil berkongsi khabar terkini mengenai keadaan suaminya itu.

Nor Haslinda Abdul Manaf berkongsi bahawa dia berkesempatan melawat suaminya di Penjara Kajang. Melalui pertemuan tersebut, dia mendapati fizikal Ismahalil sedikit berbeza apabila berat badannya dilihat semakin susut.

Iklan

Banyak Luang Masa Jadi 'Orang Masjid'

Walaupun berada dalam situasi yang cukup menguji, Ismahalil nampaknya mengisi rutin hariannya dengan perkara yang mendekatkan diri kepada agama. Nor Haslinda memberitahu suaminya kini kerap berpuasa dan banyak menghabiskan masa mengimarahkan aktiviti keagamaan di dalam penjara hingga diibaratkan seperti 'orang masjid'.

Selain itu, Ismahalil juga ada menghubunginya dan menceritakan bahawa dia aktif melibatkan diri dengan aktiviti sukan yang dijalankan di sana. Nampaknya, bekas penyampai radio itu tetap cuba mengekalkan gaya hidup sihat dan positif walaupun ruang geraknya kini sangat terhad.

Persiapan Rayuan Di Mahkamah Persekutuan

Bercakap mengenai perkembangan kes undang-undangnya, pihak keluarga memaklumkan mereka sudah pun melantik peguam bela. Peguam kini sedang giat berusaha mendapatkan tarikh perbicaraan yang sesuai pada awal tahun hadapan bagi membawa kes ini ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

Iklan

Segala urusan dokumentasi sudah tersedia dan mereka kini hanya menanti giliran untuk prosiding bermula. Untuk rekod, Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 7 Ogos lalu telah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun ke atas Ismahalil selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah pada September 2021.

Keputusan sebulat suara tersebut dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Noorin Badaruddin bersama Datuk Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashim Abdul Hamid, dengan hukuman berkuat kuasa serta-merta pada tarikh berkenaan.

Warung Kurang Pelanggan, Siaran Radio Diteruskan

Ketiadaan Ismahalil di luar sememangnya meninggalkan kesan besar terhadap mata pencarian keluarga. Tugas mengendalikan stesen radio Bapakku FM kini diamanahkan kepada DJ Apai bagi memastikan siaran tetap ke udara menemui pendengar setia.

Iklan

Pada masa yang sama, perniagaan warung makan milik keluarga masih terus beroperasi seperti biasa. Wang hasil jualan warung inilah yang menjadi sumber utama bagi menampung kos guaman yang diperlukan untuk perbicaraan Ismahalil kelak.

Namun, Nor Haslinda mengakui perniagaan warung agak terjejas dan mengalami kemerosotan pelanggan sejak suaminya tiada. Maklumlah, sebelum ini ramai pelanggan yang singgah bukan sekadar untuk menjamu selera, tetapi mahu bersua muka dan bertegur sapa dengan Ismahalil secara dekat.

Sumber: Harian Metro

Iklan

Baca juga

Iklan