Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

Bendera Bukan Lesen Rosakkan Alam, Syed Saddiq Bidas Bekas Menteri Indonesia

Syed Saddiq membidas bekas menteri Indonesia berhubung isu jerebu dan menegaskan tindakan tegas perlu diambil terhadap pembakar hutan tanpa mengira negara.

Bendera Bukan Lesen Rosakkan Alam, Syed Saddiq Bidas Bekas Menteri Indonesia
Gambar: ohmymedia.cc

Isu jerebu rentas sempadan nampaknya kembali hangat diperkatakan. Kali ini, ia membabitkan pertembungan pandangan antara Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dengan bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi.

Pertikaian itu tercetus susulan kritikan Muhammad terhadap gesaan Syed Saddiq yang mahu negara ASEAN meningkatkan tekanan diplomatik dan kewangan kepada Indonesia. Malah, bekas menteri tersebut turut mengaitkan penglibatan syarikat perladangan milik Malaysia di sana dan mendakwa isu ini dijadikan modal politik.

Iklan

Bukan Isu Malaysia Lawan Indonesia

Enggan berdiam diri, Syed Saddiq tampil membalas hujah berkenaan dengan menegaskan bahawa krisis alam sekitar ini langsung tidak wajar dilihat sebagai perseteruan antara dua negara. Bagi beliau, sesiapa sahaja yang terbukti membakar hutan demi mengaut keuntungan pantas wajib dikenakan tindakan undang-undang tanpa kompromi.

Tegasnya lagi, syarikat-syarikat tersebut beroperasi di bumi Indonesia dan tertakluk sepenuhnya di bawah undang-undang negara berkenaan. Pihak berkuasa tempatan sebenarnya memegang kuasa penuh untuk bertindak tanpa perlu ragu-ragu.

Beliau turut menolak andaian kononnya beliau bersikap berat sebelah. Syed Saddiq mengingatkan bahawa beliau sendiri sudah mendesak tindakan diambil terhadap mana-mana syarikat Malaysia yang bersalah ketika membangkitkan isu itu di Parlimen sebelum ini.

Iklan

Ladang Luas Bukan Bukti Bersalah

Menjawab dakwaan mengenai syarikat perladangan Malaysia, Syed Saddiq menjelaskan bahawa keluasan tanah sesebuah syarikat tidak boleh dijadikan alasan automatik untuk menuduh mereka mencetuskan kebakaran.

Sebagai contoh, beliau menyebut syarikat SD Guthrie yang memiliki 67 pasukan pemadam api dengan kekuatan lebih 1,000 anggota terlatih. Syarikat tersebut turut membelanjakan lebih RM800,000 sebulan serta memanfaatkan teknologi dron dan inframerah untuk memantau titik panas, selain tiada sebarang bukti mengaitkan mereka dengan kebakaran.

Menyentuh laporan Greenpeace yang dibangkitkan, hanya 19 titik panas direkodkan di kawasan konsesi Kuala Lumpur Kepong (KLK) berbanding 6,811 titik secara keseluruhan. Beliau mempersoalkan mengapa tumpuan keterlaluan diberikan kepada penyumbang sekitar 0.3 peratus itu, sedangkan baki 99.7 peratus lagi seakan tidak diendahkan.

Iklan

Tawaran Bantuan Didakwa Kena 'Ghosting'

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut mendedahkan bahawa pihak Malaysia sebenarnya pernah menawarkan bantuan logistik bagi memadam kebakaran hutan di sana. Bantuan berkenaan merangkumi sebuah pesawat, tiga buah helikopter dan barisan anggota penyelamat.

Namun, tawaran ikhlas itu didakwa tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak pentadbiran negara jiran tersebut sehingga menyukarkan usaha bantuan bersama.

Mengakhiri kenyataannya, beliau mengingatkan bahawa pencemaran udara tidak mengenal warna kulit, agama mahupun kewarganegaraan seseorang. Kanak-kanak di Malaysia dan Indonesia sama-sama menanggung azab sesak nafas akibat jerebu yang melanda.

Iklan

Justeru, keselamatan rakyat perlu diletakkan di tempat paling utama berbanding mempertahankan mana-mana pihak yang merosakkan alam semata-mata kerana faktor bendera negara.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan