Bayaran Balik PTPTN Lebih Fleksibel, Gaji Bawah RM2,500 Tangguh Dulu
Peminjam PTPTN bergaji bawah RM2,500 bakal diberi kelonggaran tangguh bayaran, manakala gaji hingga RM3,000 hanya perlu bayar RM50 sebulan.

Bagi anak muda yang baru melangkah masuk ke alam pekerjaan, memikirkan hutang pinjaman belajar setiap kali hujung bulan memang boleh buat kepala pening. Mana nak bayar sewa bilik, kos pengangkutan, belanja makan lagi. Berita baiknya, ada sedikit ruang bernafas yang bakal dinikmati peminjam tidak lama lagi.
Menerusi perancangan Belanjawan 2027, kaedah pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan diubah menjadi lebih fleksibel. Difahamkan, langkah terbaharu ini dijangka memberi manfaat terus kepada lebih 400,000 peminjam di seluruh negara.
Gaji Bawah RM2,500 Boleh Tarik Nafas Lega
Menerusi pendekatan baharu ini, graduan yang memperoleh pendapatan bulanan tidak melebihi RM2,500 belum diwajibkan untuk memulakan bayaran balik. Mereka hanya perlu mula membayar selepas gaji mencecah paras yang ditetapkan.
Sementara itu, bagi mereka yang berada dalam julat gaji RM2,501 hingga RM3,000 sebulan, bayaran bulanan minimum ditetapkan pada kadar serendah RM50 sahaja. Kadar ini dilihat jauh lebih mesra poket berbanding jadual bayaran biasa.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim, isu pembayaran hutang pendidikan ini sebenarnya sudah bertahun-tahun diperdebatkan. Usaha ini diambil khas untuk memberi ruang kepada graduan menstabilkan kewangan masing-masing sebelum terbeban dengan pelbagai komitmen lain.

Bantuan Lain Turut Diperluas Untuk Mahasiswa
Bukan sekadar isu bayaran balik hutang graduan, kebajikan pelajar yang masih menuntut di kampus turut diberi perhatian. Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi memperkasakan program Dapur Siswa MADANI.
Melalui inisiatif ini, pelajar dibekalkan dengan barangan asas seperti beras, telur, minyak masak dan sardin untuk masak sendiri. Program yang menjimatkan wang saku harian ini bakal diperluaskan ke politeknik serta Institut Pendidikan Guru (IPG) tahun depan.
Kemudahan pengangkutan juga ditambah baik menerusi kesinambungan pas My50 serta penambahan MyKomuter50 untuk pengguna KTMB. Buat pelajar yang perlu berulang-alik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak pula, bantuan FlySiswa dinaikkan sebanyak RM100, menjadikan jumlah keseluruhannya RM500 setahun.
Laluan TVET Buka Peluang Gaji Lumayan
Dalam pada itu, bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus diangkat sebagai lubuk kerjaya masa depan. Kadar kebolehpasaran graduan TVET kini dilaporkan sangat tinggi, mencecah antara 95 hingga 97 peratus setahun susulan permintaan tinggi industri teknologi.
Malah, ada graduan diploma politeknik seawal usia 20-an yang berjaya meraih pendapatan sekitar RM6,000 hingga RM7,000 sebulan selepas bekerja dalam sektor pusat data di Johor. Ini membuktikan laluan teknikal bukan lagi pilihan kelas kedua, sebaliknya mampu menawarkan gaji yang sangat kompetitif untuk anak muda.
Sumber: ohmymedia.cc
Baca juga

Data Diproses Di Israel, Fahmi Fadzil Dedah Punca Penjawat Awam Dilarang Guna Waze
Fahmi Fadzil mendedahkan faktor pemprosesan data di Israel dan kekangan perundangan menjadi punca utama penjawat awam dilarang menggunakan aplikasi Waze.

PRN Melaka: Tiga EXCO Dijangka Digugurkan, Barisan Muka Baharu Bakal Tampil
Menjelang pengumuman calon BN bagi PRN Melaka, tiga nama EXCO kerajaan negeri dan beberapa penyandang dikhabarkan digugurkan demi memberi laluan kepada muka baharu.

Waze Bakal Diharamkan Terus Di Malaysia? Ini Penjelasan Anwar Ibrahim
Kerajaan tidak menolak kemungkinan mengharamkan Waze sepenuhnya jika aplikasi tempatan bersedia, demi mengutamakan keselamatan data negara.