Bapa Meninggal Dunia, Shahriza Mahmud Sebak Bilik Wad & Rumah Berbau Wangi
Bapa kepada pelakon Shahriza Mahmud meninggal dunia pada usia 91 tahun, disusuli kejadian menyentuh hati apabila bilik wad dan rumah arwah berbau wangi.

Kehilangan ibu bapa adalah satu ujian yang paling perit untuk dilalui oleh mana-mana anak. Perasaan duka itulah yang sedang menyelubungi pelakon era 90-an, Shahriza Mahmud, selepas bapanya tercinta, Mahmud Ismail, menghembuskan nafas terakhir pada usia 91 tahun di sebuah pusat perubatan swasta di Seremban.
Namun di sebalik kepiluan menatap wajah orang tua buat kali terakhir, terselit satu kejadian yang cukup menyentuh perasaan mereka sekeluarga. Selepas arwah pergi menghadap Ilahi sekitar jam 9 pagi, suasana di wad hospital dan kediaman arwah dikatakan bertukar harum semerbak.
Bilik Wad Dan Rumah Tiba-Tiba Harum
Menurut Shahriza, kejadian aneh tapi menenangkan itu disedari sendiri oleh adik-beradiknya. Adik ketiganya memaklumkan suasana bilik wad arwah bapa tiba-tiba dipenuhi bau yang sangat wangi sebaik sahaja arwah menghembuskan nafas terakhir.
Bukan setakat di hospital, perkara yang sama turut berlaku di kediaman arwah. Shahriza berkongsi bahawa adik bongsunya terkejut apabila melangkah masuk ke dalam rumah sebaik pulang dari hospital, mendapati seluruh ruang rumah turut berbau harum.
Sebelum itu, arwah bapanya sempat meluahkan rasa tidak larat lagi untuk berada di situ kepada salah seorang anaknya. Rupa-rupanya, kata-kata ringkas itu merupakan petanda bahawa arwah akan meninggalkan mereka sekeluarga buat selama-lamanya.
Seminggu Hilang Selera Makan Lepas Jatuh Kerusi
Bercerita lanjut mengenai keadaan bapanya sebelum ini, pelakon drama bersiri Pendekar itu memberitahu arwah sebenarnya tidak menghidap sebarang penyakit kronik selain gout. Cuma sejak seminggu lalu, kesihatannya mula terjejas selepas terjatuh dari kerusi.
Pemeriksaan di klinik mendapati tiada kecederaan dalaman serius melainkan sedikit kesan lebam. Namun sejak insiden itu, arwah mula enggan makan dan minum serta hanya terbaring di atas katil.
Oleh kerana arwah enggan ke hospital, adik bongsunya akhirnya menghubungi ambulans untuk membawa bapa mereka mendapatkan rawatan segera semalam. Menjelang waktu sebelum subuh, pihak doktor meminta ahli keluarga bersedia sebelum arwah disahkan meninggal dunia beberapa jam selepas itu.
Terkilan Hutang Modal Niaga Belum Sempat Dibayar
Di samping merindui arwah bapa, hati Shahriza turut dihimpit rasa sebak mengenangkan janji yang belum sempat ditunaikan. Sebelum ini, dia ada meminjam wang daripada bapanya untuk dijadikan modal membuka gerai Asam Pedas Cendana di Bukit Antarabangsa.
Bagaimanapun, perniagaan tersebut terpaksa dihentikan seketika akibat konflik tapak niaga di lokasi berkenaan. Shahriza kini dalam perancangan memulakan semula jualan di tapak baharu di Medan Selera Taman Melawati pada 1 November ini.
Walaupun bapa tersayang sudah tiada, Shahriza menegaskan dia tetap berazam untuk melunaskan semula wang pinjaman tersebut demi menepati janjinya. Arwah bapanya merupakan seorang ustaz, manakala arwah ibunya, Hindun Mohd Darus, juga seorang ustazah.
Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Senawang Forest Heights.
Sumber: Harian Metro
Baca juga

Rimas Disoal Bila Nak Kahwin, Farahdhiya Beri Teguran 'Pedas' Buat Si Penyibuk
Farahdhiya menegur sikap segelintir individu yang suka bertanya soalan peribadi tentang status perkahwinan, sambil mengingatkan status bujang bukan bermakna tiada pilihan.

Isu Jerebu Tak Habis-Habis, Sharifah Sakinah Gesa Henti Beli Produk Sawit
Sharifah Sakinah cetus perdebatan apabila menggesa orang ramai memboikot produk sawit penyumbang kemusnahan hutan susulan isu jerebu yang berulang.

Kelas Agama Neelofa RM850 Dipertikai Netizen, Abby Abadi Tampil Bersuara
Isu yuran kelas agama Neelofa sebanyak RM850 jadi bualan di Threads. Abby Abadi tampil beri pandangan wajar mengikut kemampuan masing-masing.