Banggakan Malaysia! Nandagopall Mohan Rangkul Trofi Di Golden Horse Awards Ke-63
Pelakon Nandagopall Mohan harumkan nama Malaysia di pentas Asia apabila dinobatkan Pelakon Baharu Terbaik di Golden Horse Awards Ke-63 menerusi filem Sayang Sayang.

Satu lagi khabar gembira buat industri seni tanah air apabila bakat tempatan sekali lagi mendapat pengiktirafan di pentas berprestij antarabangsa. Pelakon muda, Nandagopall Mohan melakar sejarah tersendiri selepas berjaya merangkul trofi Pelakon Baharu Terbaik menerusi filem Sayang Sayang di Golden Horse Awards Ke-63 yang berlangsung di Taipei Music Center, Taiwan.
Kemenangan itu membuktikan keupayaan pelakon Malaysia untuk bersaing dan memikat hati juri di festival perfileman yang sering digelar sebagai 'Oscar versi Asia' tersebut.
Watak Ajay Yang Penuh Emosi & Jiwa
Bercakap mengenai lakonannya, watak Ajay yang dihidupkan oleh Nandagopall bukanlah tugas yang mudah. Karakter tersebut mengisahkan seorang remaja yang mempunyai masalah pendengaran dan bisu, namun memiliki kecintaan serta bakat luar biasa dalam seni tarian.
Ketika berada di atas pentas menerima anugerah itu, Nandagopall meluahkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk membawa suara Ajay ke layar perak. Menariknya, dia memilih untuk mendedikasikan kejayaan tersebut kepada golongan yang sering berasa tersisih.
Nandagopall menitipkan pesan agar sesiapa yang pernah memendam rasa atau merasakan kehadiran mereka tidak diendahkan dapat bangkit mencari suara sendiri. Dia berharap naskhah ini mampu membuka mata ramai untuk belajar menerima diri seadanya dan bangga dengan identiti masing-masing.
Kolaborasi Mantap Malaysia dan Taiwan
Filem Sayang Sayang merupakan sebuah karya kerjasama rentas sempadan antara produksi Malaysia dan Taiwan, membabitkan More Entertainment Sdn Bhd, IS Entertainment Co., Ltd bersama Astro Shaw. Di bawah sentuhan pengarah Tang Hsiang-Chu, naskhah ini mengetengahkan tema kekeluargaan, kasih sayang serta keindahan kepelbagaian budaya masyarakat kita.
Selain kemenangan Nandagopall, filem ini sebenarnya mencuri tumpuan ramai apabila meraih lima pencalonan keseluruhan di festival berkenaan. Antara kategori lain yang dicalonkan termasuklah:
- Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi lakonan hebat Mhia Firdaus
- Lakon Layar Asal Terbaik
- Kesan Visual Terbaik
- Kesan Bunyi Terbaik
Barisan Pelakon Hebat Dua Negara
Kekuatan filem ini turut disokong oleh barisan pelakon handalan gabungan dua negara. Antara nama-nama besar yang turut membintangi filem ini termasuklah Khir Rahman, Farah Ahmad, Amir Ahnaf, Mhia Firdaus dan Jo Kukathas, di samping bintang Taiwan seperti Sasha Tang, Ong Ai Leng serta Lee Lee-Zen.
Bagi anda yang belum sempat menonton, filem Sayang Sayang sudah pun mula menemui penonton di pawagam sejak 5 November lalu. Memang wajar kita beri sokongan padu kepada karya yang mengangkat martabat sinema tempatan sehingga ke peringkat global seperti ini.
Sumber: gempak
Baca juga

Mimpi Jadi Nyata, Insomniacks Teruja Jadi Band Pembuka Konsert 5SOS
Insomniacks anggap rezeki terpilih sebagai 'opening act' konsert 5 Seconds of Summer di Malaysia bagai mimpi jadi kenyataan kerana band itu inspirasi awal mereka.

5,000 Peminat Penuhi Megastar Arena, Konsert Wali Band Penuh Emosi
Konsert WALI Exclusive - One Night Only gamat dihadiri 5,000 penonton, diserikan duet Najwa Latiff dan sesi doa yang menyentuh hati.

Empat Anak Seni Harumkan Malaysia Di Golden Horse Awards Ke-63, PMX Titip Tahniah
Empat penggiat seni tempatan harumkan nama negara di Golden Horse Awards Ke-63, Taiwan. Kejayaan bersejarah ini turut mendapat ucapan tahniah daripada PMX.