Siakap KeliLive · Auto-update
Semasa

"Alergik Dengar Nama Tu" - Ramanan Bidas Rafizi Pembohong Bersiri, Cabar Disaman

Ramanan Ramakrishnan melabel Rafizi Ramli sebagai 'pembohong bersiri' dan 'menteri gagal', selain mencabar bekas menteri itu untuk mengheretnya ke mahkamah.

"Alergik Dengar Nama Tu" - Ramanan Bidas Rafizi Pembohong Bersiri, Cabar Disaman
Gambar: ohmymedia.cc

Suhu politik tanah air nampaknya kembali panas membara apabila dua pemimpin utama PKR saling berbalas kenyataan pedas. Kali ini, giliran Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan meluahkan rasa berang terhadap bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Ramanan secara terbuka menyifatkan Rafizi sebagai seorang 'pembohong bersiri' dan mendakwa beliau adalah 'menteri gagal' sewaktu berada dalam barisan Kabinet. Beliau menegaskan kesabarannya sudah hilang kerana dakwaan berterusan yang dilemparkan Rafizi dianggap langsung tidak bersandar pada fakta.

Iklan

Tuduhan Tanpa Bukti Selepas Berbulan-Bulan

Pertikaian panas ini berkait rapat dengan dakwaan penerimaan dana RM9.5 juta yang sebelum ini dibangkitkan oleh Rafizi. Menurut Ramanan, sudah lebih enam atau tujuh bulan berlalu sejak isu itu dicanang kepada umum, namun tiada sehelai dokumen bukti pun yang pernah ditunjukkan.

Ramanan mengakui dirinya kini cukup 'alergik' setiap kali mendengar nama bekas menteri terbabit. Baginya, tindakan bercakap hanya menggunakan air liur tanpa sebarang dokumen sokongan hanya menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab kepada rakyat.

Taktik Alih Perhatian dan Isu Kutipan Derma

Bukan sekadar isu tuduhan dana, Ramanan turut mendakwa Rafizi cuba mengalihkan perhatian orang ramai daripada isu lain yang menghimpit dirinya, termasuk persoalan mengenai kontrak mesin layan diri.

Iklan

Lebih panas lagi, Ramanan sempat mengungkit kisah lama mengenai tindakan Rafizi yang pernah melancarkan kutipan dana daripada orang ramai selepas tewas kes saman di mahkamah bagi mengelak muflis.

Atas sebab itulah, Ramanan mempersoalkan kewajaran untuk beliau menyaman Rafizi. Menurutnya, tindakan memfailkan saman hanya akan membuka ruang untuk meminta sumbangan baharu, sekaligus membebankan poket rakyat sekali lagi.

"Tak Suka Apa Saya Cakap? Samanlah"

Walaupun begitu, Ramanan langsung tidak berundur setapak. Beliau secara terbuka mencabar Rafizi untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya merasakan kenyataan yang dikeluarkan itu salah atau berunsur fitnah.

Iklan

Terdahulu, Rafizi menyatakan kesediaannya untuk membentangkan bukti di mahkamah sekiranya menerima writ saman daripada Ramanan. Pada masa yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini sudah pun menolak dakwaan kononnya ada menteri menerima RM9.5 juta kerana ia tidak disertakan sebarang bukti kukuh.

Perbalahan terbuka antara pemimpin kerajaan ini jelas mencuri tumpuan ramai. Sama ada kemelut ini akan benar-benar berlarutan ke kandang mahkamah atau sekadar perang mulut di media, orang ramai terus memerhati perkembangan seterusnya.

Sumber: ohmymedia.cc

Iklan

Baca juga

Iklan