"Sentuh je boleh tapi bukan aksi melampau" – Ruhainies
PETALING JAYA – Sembilan tahun menekuni tugas sebagai anak seni, pelakon Ruhainies mengakui tiada masalah melakukan babak bersentuhan dengan pasangan hero dalam sesebuah karya.
Pemilik nama lengkap Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31 itu bagaimanapun berharap tuntutan sedemikian haruslah masuk akal dan bersandarkan logik jalan cerita, bukannya sengaja direka-reka untuk publisiti murahan.
“Sekiranya ada babak yang memerlukan saya dan pasangan bersentuhan, itu tidak mengapa. Contohnya untuk babak kemalangan dan saya terpaksa didukung oleh hero.
“Itu logik juga. Nak berkarya jangan kolot sangat. Tapi kalau tiba-tiba nak kena peluk, cium, itu tidak boleh,” jelas anak jati Kepala Batas, Pulau Pinang itu.
Sambung adik kepada pelakon Risteena Munim itu lagi, dia bagaimanapun tidak akan melakukan adegan bersentuhan selepas mendirikan rumah tangga.
“Apabila sudah berkahwin, saya akan tolak babak bersentuhan dengan lelaki kerana menghormati suami.
“Sebagai isteri, saya kena jaga air muka dia,” katanya.
Tambah Ruhainies, jika terdapat babak melampau dalam karya lakonannya, dia akan berbincang terlebih dahulu dengan pengarah sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kalau perasan, dalam lakonan saya memang tidak ada babak atau adegan yang melampaui batas. Kalau ada sekali pun, saya akan cuba berbincang dengan pengarah.
“Setakat ini, pengarah belum pernah kata tidak bila saya berbincang dengan mereka,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pada masa sama, pelakon drama Sayang Tak Dikenang itu memaklumkan terbuka untuk bergandingan dengan hero baharu bagi mencipta kelainan dan keserasian dalam sesebuah karya.
“Saya okey jika diminta bergandingan dengan pelakon baharu. Saya tidak mahu peminat beranggapan saya hanya akan berlakon dengan hero tertentu sahaja.
“Kalau hero itu tidak pernah berlakon dengan saya, lagi saya suka sebab mahu cari kelainan. Tapi, sekiranya berlakon dengan hero yang sama pun saya okey sahaja. Saya tidaklah cerewet,” katanya yang mendambakan naskhah mencabar dan lasak.