Cahaya Aneh Di Langit, Orang Di Johor Bahru Nampak Jelas
DUA hari lalu, orang ramai meluahkan rasa kagum apabila menyaksikan sendiri keindahan cahaya bulan yang ditemani 'bintang' kecil menerusi fenomena gelinciran planet Zuhrah.
Terbaharu, malam tadi berlaku satu lagi fenomena memukau mata yang digelar 'Tiang Cahaya' atau Light Pillar.
Fenomena itu kelihatan jelas di ruang langit Johor Bahru, sekitar pukul 10 malam tadi.
Beberapa penduduk sempat merakam fenomena tersebut dan berkongsi di media sosial.
Menurut laman web rasmi Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), 'Tiang Cahaya' adalah fenomena yang terjadi apabila di permukaan Bumi terdapat cahaya yang terang dan dikelilingi oleh air.
"Kemudian ketika kejadian suhu atmosfera sangat sejuk hingga terbentuk ais (berbentuk kepingan) yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Manakala suhu di permukaan Bumi pula sangat panas.
"Pertembungan kedua-dua keadaan ini menyebabkan cahaya tadi terpantul ke atmosfera dan kelihatan seolah-olah tiang cahaya tergantung di langit. Keadaan ini selalu terjadi di kawasan kutub atau polar," menurutnya.
Tiang Cahaya juga dapat dilihat dalam pelbagai warna menghiasi langit di malam hari.
Sebelum ini, fenomena yang sama juga terjadi di Kudat, Sabah pada 2017.